Ikut Arahan, Kita Sama-Sama Kekang Wabak COVID-19 – Norshida

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim mengharapkan agar rakyat di seluruh negara bukan sahaja terus akur malah mengikuti dengan jelas arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Ini kerana jelas beliau tanpa kerjasama dan komitmen yang bersepadu di pelbagai peringkat sudah pasti usaha kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 tidak akan menepati sasaran dan sudah pasti ianya akan terus mengancam nyawa rakyat negara ini.

“Semalam 14 kematian… saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Jumlah kes pula melebihi 1,000 kes dan setakat 23 Mac sebanyak 1,518 dilaporkan dan ini seharusnya perlu dilihat oleh rakyat sebagai satu perkara yang serius dan bukan boleh dibuat main-main dan dipermainkan saranan untuk #stayathome.

“Kita doakan mereka yang dijangkiti segera sembuh dan kita sendiri, kaum keluarga dan kenalan di sekeliling kita dijauhkan dari bencana wabak ini.

“Janganlah kita hanya mahu keluar ke sana-sini tanpa menghiraukan COVID-19 yang melanda negara dan dunia hari ini. Kerjasama daripada rakyat cukup penting dengan berada di rumah. Sama-sama kita jayakan,” katanya.

Norshida pada masa yang sama turut merayu kepada mana-mana ahli jemaah tabligh atau kontak yang pernah berurusan dengan mereka yang belum lagi melakukan saringan di Klinik Kesihatan Kerajaan agar segera berbuat demikian.

“Insya-Allah kita sama-sama mohon dipermudahkan agar wabak ini berjaya dikekang.

“Kepada mereka yang berada di barisan depan jasa dan pengorbanan mereka cukup tinggi dan kami amat menyanjungi segala khidmat bakti yang dicurahkan. Percayalah jasa dan keringat mereka akan terus disanjung,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.