Duduk Di Rumah Dan Impaknya Kepada Diri Serta Negara

DUDUK di rumah atau ‘stay at home’, hanya tiga perkataan tetapi membawa impak yang besar, bukan pilihan tapi keperluan dan arahan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19. Langkah ini diambil atas kemaslahatan rakyat bertepatan dengan kaedah Feqah الضرر يدفع بقدر الامكان “Kemudharatan perlu dibendung semampu mungkin”.

Menurut Agence France-Presse (AFP), kira-kira 500 juta orang terbabit dalam langkah kawalan pergerakan di seluruh dunia berikutan COVID-19 yang bermula di China dan dikuatkuasakan di negara-negara lain seperti Itali sejak 10 Mac, Sepanyol (14 Mac), Lebanon (15 Mac), Republik Czech (16 Mac), Perancis, Israel dan Venezuela (17 Mac) dan Belgium (18 Mac).

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkait dengan soal Keselamatan Insan. United Nation Development Programme (UNDP), melalui United Nation Development Report diterbitkan pada 1994 memasukkan satu bahagian dengan keselamatan insan, iaitu Redefining Security: The Human Dimension. Indikator yang boleh mengancam keselamatan insan dikenal pasti seperti ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi, alam sekitar, masyarakat dan politik. Dalam konteks kesihatan, soal keselamatan insan menggariskan faktor penyakit berjangkit atau pandemik yang boleh mengancam nyawa manusia seperti COVID-19 juga boleh menjejaskan keselamatan negara jika tidak ditangani dengan baik.

Mudah, #stayathome tetapi susah untuk dipatuhi, pelbagai alasan yang diberikan. Apapun alasannya #stayathome adalah pengorbanan yang wajib dilakukan, tanpa kompromi. Sekurang-kurangnya dengan duduk di rumah kita telah membantu pasukan perubatan dan keselamatan sebagai pasukan barisan hadapan atau frontliner yang bertungkus-lumus tanpa rehat, tidur tidak menentu, makan dan minum tidak terurus demi mencegah rantaian penularan wabak ini. Kita ringankan bebanan mereka dengan duduk di rumah.

Setelah empat hari dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), natijahnya mengecewakan, tahap kepatuhan merisaukan. Bermula 22 Mac, kerajaan telah bersetuju melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan membantu polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Alhamdulillah setelah dua hari dilaksanakan tampak keberkesanannya. Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan tentera dilibatkan dalam PKP atas alasan bukannya keperluan dan akan menimbulkan panik serta kerisauaan melampau bahkan ada yang menyifatkan kerahan tersebut tidak masuk akal. Apapun kritikan yang dilontarkan, kajian telah dibuat dan menjadi keutamaan kerajaan memastikan rakyat mematuhi PKP bagi mengekang dan memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 dari terus merebak.

Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah memberi nasihat dan turun padang untuk memastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menunjukkan betapa seriusnya wabak ini kepada negara.

Saya berpandangan titah khas Yang di-Pertuan Agong berhubung Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, adalah perintah yang perlu dipatuhi oleh seluruh rakyat. Sepertimana Menurut Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, “Kalau kita lihat perkataan titah itu sendiri, ia bukan calang-calang perkataannya, titah ini bermaksud perintah. Titah itu menggambarkan ia sesuatu yang sangat penting untuk ditaati oleh rakyat kerana Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah pada setiap masa kecuali ada perkara penting”.

Memahami denyut nadi dan keperluan rakyat berhadapan dengan GOVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dalam tempoh PKP dan bulan mendatang, Kerajaan Persekutuan melalui beberapa kementerian dan agensi berkaitan telah mengambil dan menawarkan beberapa skim bantuan dan insentif bagi mengurangkan bebanan rakyat antaranya;

• Diskaun bil elektrik akan diberi kepada semua pengguna bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September.

• Pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan.

• Pengecualian sewa selama sebulan kepada peniaga di premis DBKL

• Bayaran penuh kepada 500 pekerja harian DBKL walaupun mereka tidak bekerja sepanjang tempoh PKP.

• Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama enam bulan.

• Penangguhan pembayaran pinjaman dengan moratorium sehingga 6 bulan

• Mempercepatkan bantuan bulanan kepada semua penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi bulan April yang melibatkan 500 ribu penerima.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan cuba sedaya mungkin membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Walaupun tidak berada dalam barisan Kabinet, saya sentiasa berpesan dan tekankan kepada Menteri dan timbalan Menteri yang mewakili UMNO dan BN agar menjadikan kebajikan rakyat satu keutamaan setiap kali keputusan atau polisi dibuat.

Terima kasih kepada pimpinan UMNO dan BN di pelbagai peringkat yang cakna dan turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Tahniah kepada Puteri UMNO atas inisiatif yang diambil dengan pelancaran ‘Puteri Umno Covid-19 Support Fund’, misi bagi mengumpul dana untuk membantu petugas barisan hadapan (frontliners). Semoga segala usaha kita diterima sebagai amal jariah.

Bersempena mengingati peristiwa Isra’ dan Mikraj Baginda Rasulullah SAW yang merupakan satu perjalanan yang mengatasi daya fikir manusia dan merupakan ujian keyakinan dan kepercayaan kaum Quraisy terhadap peristiwa ini, sebagaimana yakinnya Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Ibrah yang dapat dipelajari daripada peristiwa isra’ dan Mikraj adalah, COVID-19 ialah ujian daripada Allah SWT terhadap hambanya dan keyakinan kita sebagai umat Islam bahawa setiap ujian ada jalan keluar dan setiap penyakit ada ubatnya, sepertimana sabdaan Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.” [Riwayat Abu Daud (3874)]

Saya menyeru kepada seluruh umat Islam selain daripada pelbagai usaha yang sedang kita lakukan sekarang bagi mengatasi penularan COVID-19, alangkah indahnya jika kita mampu meningkatkan usaha secara spiritual dengan memperbanyakkan amalan-amalan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT melalui zikir, doa, tahajud, munajat, berpuasa, bersedekah dan sebagainya memohon kepada Allah SWT semoga wabak ini dapat diatasi dengan sebaiknya.

Justeru, tiada lebih penting, selain bersatu dan menolak perbezaan yang timbul berkaitan dengan COVID-19 demi kesejahteraan dan kemaslahatan bersama dan yakinlah pertolongan Allah bersama kesatuan.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#juststayathome
#stayhomestaysafe
##kurangkankontroversitingkatkanprestasi
#secangkirkopi49

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.