Dr Adham Beri Semangat… Patuh Arahan Duduk Di Rumah Putuskan Rangkaian COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memberikan kata-kata semangat kepada rakyat Malaysia agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian virus COVID-19.

Dalam satu video berdurasi 53 saat dalam Facebook rasminya, dalam nada positif Dr Adham menyeru rakyat meneruskan langkah duduk di rumah, penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan.

“Alhamdulillah langkah kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mula mendapat kerjasama baik daripada rakyat.

“Ini usaha kita bersama, duduk rumah, penjarakan sosial, amalkan kebersihan, kita mesti menang (dalam menangani COVID-19),” katanya bersemangat.

Hari ini hari ketujuh PKP, dan sehingga kini kadar pematuhan rakyat meningkat kepada 95 peratus berbanding 92 peratus sebelum ini hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata trend kesesakan di bandar kini semakin berkurang, jalan raya semakin lengang dengan kadar pematuhan yang tinggi itu.

Sehingga tengah hari ini, satu lagi kematian dicatatkan akibat COVID-19 menjadikan bilangan yang maut di negara ini sebanyak 15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.