COVID-19: Kerajaan Hari Ini Cukup Efisyen, Prihatin Keadaan Rakyat – Ramlan

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani menyokong tindakan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini yang cukup efisyen dalam membantu permasalahan rakyat yang berdepan COVID 19.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan inisiatif pengeluaran caruman akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini tentunya akan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat.

“Bagi penyimpan KWSP sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan wang setiap bulan bagi akaun 2 sebanyak RM500 selama 12 bulan. Ia dapat meringankan beban pencarum dan sesuatu yang cukup berguna kepada rakyat yang memerlukannya.

“Langkah-langkah kerajaan dalam memberikan percuma sewa premis perniagaan DBKL, memberi bayaran penuh kepada 500 pekerja harian DBKL, penangguhan pembayaran PTPTN bagi pelajar adalah sesuatu yang cukup bagus dan sepatutnya kita bersyukur kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat,” katanya kepada UMNO Online, hari ini, di sini.

Berkaitan perkembangan COVID-19, Ramlan yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan merasa cukup risau kes kematian semakin meningkat sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID 19 di negara ini adalah 14 kes.

“Peningkatan kematian akibat Covid-19 di Malaysia ini semakin meningkat, jadi kita haruslah lebih waspada dan mengikut arahan yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai contoh apa yang berlaku di Itali adalah disebabkan rakyatnya yang tidak mengambil berat tentang COVID-19 dan saya mengharapkan agar warga Wilayah Persekutuan janganlah berlaku macam di Itali.

“Apabila kerajaan membuat arahan dan menyuruh rakyat ‘stay at home’, seolah-olah rakyat tertekan dengan arahan tersebut tetapi sebenarnya kerajaan tidak mahu kita menghadapi risiko yang lebih tinggi dengan kematian.

“Saya mengharapkan agar warga Wilayah Persekutuan mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, semoga ia dapat menghindar dan menyekat virus COVID-19 dari merebak lebih bahaya kepada rakyat,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.