Semoga Inisiatif, Langkah Proaktif Kerajaan Mampu Ringankan Beban Rakyat – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersyukur dan berharap inisiatif yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil keputusan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi dapat membantu rakyat negara ini yang sedang menghadapi krisis penularan COVID-19.
“Semoga semua langkah proaktif yang menjamin keselamatan, kebajikan, kitaran bekalan makanan dan bekalan penting dapat mengurangkan beban rakyat terutama yang berpendapatan rendah serta yang hilang mata pencarian akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, antara inisiatif yang disentuh adalah kebenaran pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula April nanti, peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.
Begitu juga inisiatif menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID19 dan memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap juga mendoakan supaya COVID-19 segera lenyap di negara ini agar semua rakyat dapat menjalani kehidupan harian seperti sediakala.
Sebagai rekod juga, sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO yang tidak berada di dalam Kabinet pernah mencadangkan beberapa inisiatif dan langkah kepada kerajaan bagi membantu rakyat terutama ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan.
Antaranya mengenai penangguhan atau morotarium pembayaran semula pinjaman kepada individu dan juga syarikat dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19, pemberian wang tunai dan pengeluaran KWSP serta penambahan anggota barisan hadapan seperti yang disarankan oleh Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu lagi statusnya di platform yang sama, berhubung dengan kebenaran pengeluaran Akaun 2 KWSP, Mahdzir menasihatkan para pencarum agar berhati-hati dan hanya merujuk kepada maklumat yang dikeluarkan oleh pihak KWSP atau agensi kerajaan yang berkaitan sahaja.
“Maklumat tersebut termasuklah kaedah atau prosedur pengeluaran simpanan KWSP yang betul. Elakkan daripada menjadi mangsa penipuan pihak yang ingin mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya sambil melampirkan pautan agensi kerajaan tersebut; www.kwsp.gov.my – UMNO ONLINE