Jangan Prejudis Terhadap Jemaah Tabligh – Shahril

KITA wajar memuji langkah Menteri Pertahanan (Menteri Kanan), YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri Bera yang menyeru seluruh peserta ijtimak tabligh Seri Petaling yang belum buat saringan agar berbuat demikian, tanpa rasa khuatir, jikapun mereka tidak mempunyai dokumen sah – kita sedia maklum sebahagian peserta himpunan tersebut adalah kaum Rohingya.

2) Tindakan beliau mencapai persefahaman dengan pihak penguatkuasa berwajib lain seperti KDN dan PDRM adalah tepat iaitu fokus pada membendung wabak virus pembunuh #Covid19 ini, bukan pada kesalahan lain seperti tiada dokumen perjalanan sah atau pengenalan diri.

3) Pertama, cukup-cukuplah sentimen prejudis terhadap jemaah tabligh yang sedikit menular di media sosial kebelakangan ini. Kalaupun ada sedikit rintangan dihadapi untuk menyaring segelintir jemaah tersebut, ia adalah isu individu dan jangan sekali-kali kita menyalahkan kelompok besar tersebut.

4) Kedua, ingatlah bahawa mereka juga “mangsa” kepada virus yang tidak mendiskriminasi kaum, agama atau kewarganegaraan. Dari jumlah 10 kematian setakat jam lima petang hari ini (22/3/2020), lima adalah dari kluster himpunan jemaah tabligh, Masjid Seri Petaling iaitu kes 178, 152, 238, 781 dan 259.

Dari kes 152 di atas, ahli keluarga mangsa turut terkesan hingga alami kematian iaitu kes 1,031 dan 1,032.

Ini menjadikan angka kematian dari kluster Jemaah Tabligh seramai tujuh mangsa dari 10 kes kematian keseluruhannya. Perasaan wajar adalah sedih dan simpati, bukan marah jauh sekali menimbulkan rasa prejudis.

5) Ketiga, dalam krisis #Covid19 ini, keutamaan adalah nyawa. Nyawa peserta himpunan itu sendiri nyawa ahli keluarga atau rakan terdekat mereka, di samping masyarakat secara amnya. Jadi soal status pendatang tanpa izin atau tiada dokumen dan sebagainya bukan keutamaan mendesak sekarang.

Sebaliknya, kita punyai tanggungjawab moral untuk meletakkan nyawa dan pembendungan penularan sebagai keutamaan. Ini semangat dan kebijaksanaan yang dipaparkan melalui keputusan hari ini. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.