COVID-19: Terima Kasih Kerajaan Fahami Keperluan Rakyat, Takziah Untuk Keluarga Mangsa – Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memahami keperluan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat akibat penularan COVID-19.

“Terima kasih kerana memahami keperluan rakyat. Semoga ia meringankan beban mereka selain melengkapkan kemudahan petugas.

“Sama-sama kita hadapi ujian musibah dan mengekang penularan wabak ini,” katanya ringkas menerusi Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga- keluarga mangsa yang terlibat dan meninggal dunia akibat COVID-19.

“Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 adalah sebanyak 11 orang sehingga kini. Semoga anda semua diberi ketabahan dan marilah Kita terus berdoa untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dilaporkan, pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya, hari ini, Muhyiddin memaklumkan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing masing-masing, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk selama 12 bulan bermula 1 April depan.

Initiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dan membabitkan pengeluaran yang dianggarkan berjumlah RM40 billion, kata beliau.

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju memberi lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk menyokong usaha menangani COVID-19, termasuk pengambilan kakitangan baharu secara kontrak terutamanya jururawat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memaklumkan peruntukan sebanyak RM130 juta akan turut disalurkan kepada negeri-negeri bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.