Dr Asyraf Kongsi Pengalaman Jalani Ujian Saringan… Beri Kerjasama Dan Bersama Perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkongsi pengalamannya menjalani ujian saringan COVID-19.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Asyraf berkata walaupun ujian saringan COVID-19 ke atas dirinya didapati negatif, beliau sekeluarga tetap akan menuruti nasihat doktor untuk mengasingkan diri sepenuhnya (full self-quarantine) selama 14 hari daripada hari disyaki terdedah dengan individu yang positif Coronavirus.

“Ini bermakna, sehingga 26 Mac baharulah boleh tarik nafas lega sikit sekiranya tiada simptom-simptom seperti demam, selsema, batuk mahupun sesak nafas,” katanya yang juga berdoa semoga Allah menjauhkan dan melindungi semua dari virus tersebut.

Berikut merupakan perkongsian Dr Asyraf dan sedikit kronologi untuk manfaat semua:

1. 12 Mac 2020 (Khamis)– Saya memenuhi undangan sebagai Panel Wacana Sinar Harian yang turut disertai Yang Berhormat (YB) Kevin Yii Ahli Parlimen Dap Kuching yang duduk betul-betul sebelah saya hampir sejam setengah. Saya turut bersalaman dengan beliau.

2. 13 hingga 17 Mac – Saya terlibat dengan banyak pertemuan, mesyuarat yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara termasuk anggota Kabinet, pimpinan tertinggi UMNO, Barisan Nasional, PAS bahkan menjelajah ke Terengganu dan Melaka.

3. 17 Mac (Selasa; 12.30pm) – Mendapat khabar melalui berita dan pendedahan melalui Facebook, bahawa YB Kevin Yii didapati positif COVID-19 dan menerima rawatan di Hospital Kuching.

4. 17 Mac (Selasa; 1pm) – Terus menghubungi Datuk Dr Nor Hisham Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan nasihat.

Ada dua pilihan, kerana saya tidak mempunyai simptom, boleh terus mengasingkan diri selama 14 hari (sebelum pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan); atau ke Hospital Kerajaan/Panel Swasta yang digazetkan untuk melaksanakan Ujian Saringan COVID-19.

5. 17 Mac (Selasa; 2.30) – Atas rasa tanggungjawab kerana ramai yang terdedah kepada saya terutamanya melibatkan kepimpinan tertinggi negara dan rakan-rakan Pemuda UMNO, saya menghubungi Hospital KPJ Damansara. Malangnya ujian hanya dibuka antara pukul 8 pagi hingga 12 tengahari. Mereka mencadangkan ke KPJ Shah Alam kalau mahu segera.

6. 17 Mac (Selasa; 3pm) – Saya terus ke KPJ Shah Alam setelah menghubungi mereka.

Di sini saya sertakan juga panduan penting agar kita tidak terdedah atau mendedahkan diri kita kepada sebarang kemungkinan mudarat virus COVID-19:

(i) Pakai topeng muka sebelum ke hospital.

(ii) Terus ke Bahagian Kecemasan yang disediakan khemah khas untuk ujian saringan. Maklumkan secara jujur siapa mangsa Kes COVID-19 yang kita berkemungkinan berinteraksi atau terdedah.

(iii) Setelah mengisi borang yang disediakan kita akan diminta untuk duduk di tempat menunggu. Jarakkan diri kita sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.

(iv) Apabila dipanggil doktor akan sekali lagi bertanyakan sama ada kita ada simptom berkaitan COVID-19. Kemudian suhu badan kita diambil.

(v) Doktor akan menggunakan alat tertentu untuk mengambil spesimen melalui mulut dan hidung (yang paling tidak selesa dan rasa sakit sikit ialah melalui rongga hidung).

(vi) Selesai semua prosedur, doktor menasihatkan sekurang-kurangnga 24 jam masa diambil untuk makmal buat pengesahan. Kalaupun negatif, mesti mengasingkan diri selama 14 hari.

Jika terdapat apa-apa simptom seperti demam, batuk, selsema mahupun sesak nafas, mesti segera ke hospital.

Jelas Dr Asyraf, menurut doktor terdapat beberapa kes diuji negatif tetapi simptom-simptom COVID-19 mulai muncul dalam tempoh 14 hari iaitu jangka masa virus boleh bertahan dalam badan (tempoh hayat inkubansi covid-19 dalam badan seseorang).

“Justeru nasihat saya kepada semua teruskan kekal berada di rumah dengan mengasingkan diri dan keluarga untuk putuskan jaringan penularan wabak COVID-19 ini.

“Mudah-mudahan Allah memelihara kita semua dan segera mengangkat bencana wabak pandemik Coronavirus ini dengan mempertemukan manusia vaksin penyembuhan secepat mungkin,” katanya. – UMNO ONLINE

#StayAtHome
#KekalDiRumah
#BersamaPerangiCovid19

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.