ATM Bantu PDRM: Pembangkang Jangan Berpolitik Sempit, Dangkal – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Tidak timbul apa-apa isu apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk membantu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ujarnya, bidang kuasa Menteri Kanan Pertahanan tidak seharusnya dipertikaikan oleh beberapa pemimpin parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita perlu sedar bahawa keutamaan pihak berkuasa kini adalah untuk memutuskan rantaian penyebaran virus COVID-19 yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat Malaysia.

“Justeru, tidak perlu menunding jari antara satu sama lain. Ini bukan waktunya untuk terus berpolitik sempit dan dangkal,” bidasnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya.

Berhubung dengan satu video tontonannya yang memaparkan situasi di sekitar ibu kota, Ahli Parlimen Padang Terap itu amat berharap agar pemantauan dan penguatkuasaan tegas dikenakan ke atas pergerakan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan warga asing terutamanya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam.

“Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Dalam Negeri contohnya boleh memainkan peranan lebih serius dan proaktif dalam menangani risiko sebaran virus COVID-19 dalam kalangan PATI dan warga asing,” gesanya.

Ulasnya juga, segala kritikan membina dan cadangan bernas seharusnya dilontarkan kepada pihak kerajaan agar pandemik ini dapat diatasi secara bersama dan segera.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa adalah ditagih untuk sama-sama mengekang virus COVID-19 ini dan memulihkan kembali ekonomi negara,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.