Kerajaan Kedah Digesa Lebih Prihatin, Desak Pemuda UMNO

ALOR SETAR, 22 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah Mohd Fadzil Zolkipli mendesak kerajaan negeri itu untuk berfikir di luar kotak dan lebih agresif serta prihatin dengan kesukaran yang dihadapi pelbagai lapisan masyarakat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ujar beliau, semenjak pandemik Covid-19 mula melanda dengan serius di Kedah, sehingga sekarang sudah 41 kes positif direkodkan di negeri ini namun sayangnya kerajaan negeri masih bersikap ‘relax’ seolah-olah ‘business as usual’ sedangkan rakyat mengharapkan sesuatu pertolongan bagi mengurangkan kesan negatif kepada mereka.

“Berdasarkan laporan akhbar, kerajaan negeri baru sekali mengadakan mesyuarat khas berkenaan Covid-19 beberapa hari lepas iaitu sebelum perintah kawalan pergerakan diumumkan kerajaan persekutuan. Itupun keputusan hanya bersifat pentadbiran, tiada yang bersifat bantuan kepada umum.

“…dan semenjak perintah kawalan perjalanan diumumkan, belum kedengaran sebarang inisiatif kerajaan negeri.

“Justeru, Pemuda UMNO Kedah meminta kerajaan negeri berfikir di luar kotak, mencari jalan memberi pertolongan kepada rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Fadzil, Pemuda UMNO Kedah juga bersedia membantu kerajaan negeri jika diperlukan bagi sebarang tugasan membantu rakyat.

“Pemuda UMNO Kedah juga mencadangkan kerajaan negeri memberi bantuan kewangan mahupun barangan keperluan harian kepada golongan berikut yang terjejas pendapatan mereka iaitu, peniaga kecil, pekerja bergaji hari, mereka yang menerima bantuan JKM, orang susah/uzur, dan golongan petani/penoreh/nelayan.

“Kerajaan negeri juga perlu mengarahkan Penghulu, Ketua Kampung dan imam mengenalpasti mereka yang terkesan dan menyalurkan bantuan segera,” tegas beliau.

Selain itu, Pemuda UMNO Kedah juga mencadangkan agar kerajaan negeri memberi diskaun untuk bayaran bil air, sewa tapak perniagaan, dan lain-lain bayaran di bawah tadbiran kerajaan negeri.

“Tolonglah juga membantu barisan depan yang bertugas seperti anggota polis, pasukan kesihatan dengan memberi imbuhan khas.

“Cukuplah memikirkan soal politik kepentingan kepartian dan diri sendiri. Keadaan terdesak memerlukan tindakan yang segera hebat, itu yang kita mahu lihat kerajaan negeri lakukan.

“Sekali lagi Pemuda UMNO tegaskan kami bersedia bersama kerajaan negeri bagi membantu rakyat,” luahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.