Jangan Jadikan COVID-19 Modal Politik, Kecaman Tak Bantu Selesai Masalah – Hariri

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor merasa kecewa dengan segelintir pihak yang menjadikan COVID-19 modal politik sebagaimana kenyataan Pemuda Parti Amanah dengan menyalahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinannya dalam menangani wabak tersebut.

Katanya, Timbalan Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir, menyalahkan kerajaan seolah-olah tidak ada hala tuju untuk menyelesaikan masalah COVID-19 ini dan tidak dapat membantu menenangkan rakyat.

“Kenyataan Pemuda Amanah yang menyalahkan Perdana Menteri dan barisan kabinet baru ini amatlah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah bersikap seperti menangguk di air keruh. Kecaman dan kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah apatah lagi membantu menenangkan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi cemas julung kali ini.

“Di manakah suara lantang Pemuda Amanah ketika mula-mulanya tercetusnya wabak COVID-9 apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, seolah-olah mengambil sikap acuh tak acuh berkenaan hal keselamatan rakyat? Ini diburukkan lagi dengan pernyataan daripada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyebut tiada keperluan untuk membuat sekatan masuk warga China yang menjadi punca utama wabak ini ke Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Hariri lagi, rakyat hari ini tahu menilai akibat kelemahan kabinet Menteri Pakatan Harapan (PH) yang mengalami masalah tindakan yang terlalu lembap untuk mencegah masalah ini daripada merebak.

“Kelemahan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang tiada satu pun dalam kepalanya ada idea dan niat untuk membuat misi penyelamat oleh ATM terhadap warganegara Malaysia yang berada di negara luar.

“Tidak pula Pemuda Amanah menghentam Presiden mereka ini yang bertindak dan berfikiran lembap seperti siput babi?” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau bersama Pemuda UMNO Kelantan merayu dan berpesan kepada semua rakyat Malaysia supaya patuh kepada semua arahan Kerajaan hari ini, serta kekal tenang dalam usaha demi menyelamatkan nyawa diri dan keluarga, tambahnya lagi.

“Percayalah… sifat tanggungjawab dan sikap kebersamaan kita semua dapat mencegah penularan wabak ini dengan jayanya,” katanya lagi.- UMNO ONLINE