COVID-19: Zahid Rakam Penghargaan Kepada Petugas Barisan Depan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan penghargaan yang tinggi dan pada masa yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berada di barisan depan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Menurut beliau komitmen mereka adalah cukup tinggi dan rakyat harus memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membantu mengekang penularan COVID-19.

“Saya bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN) seluruh negara ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada petugas-petugas dalam sektor kesihatan, bahagian penguatkuasaan sama ada PDRM atau agensi penguatkuasaan lain atas keperihatinan mereka bagi melakukan sekatan dan sebagainya.

“Saya harap rakyat bersabar dalam tempoh yang tidak terlalu lama ini, insya-Allah dan kalau kita sama-sama mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong dan juga permintaan daripada Perdana Menteri serta pihak berkuasa, saya yakin kerjasama daripada semua rakyat Malaysia akan menyebabkan COVID-19 akan dapat dihindarkan dalam waktu terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau menyampaikan sumbangan makanan  dan minuman kepada pelbagai sektor yang berada di barisan depan dalam usaha membantu kerajaan berikutan penularan COVID-19 sekitar Kuala Lumpur.

Sektor-sektor berkenaan termasuklah kesihatan, keselamatan dan agensi penguatkuasaan serta lain-lain agensi yang terlibat dalam tugasan kawalan pergerakan.

Majlis secara ringkas itu berlangsung di pekarangan Hotel Premiera yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid seterusnya menambah kerjasama antara PDRM dan angkatan tentera merupakan satu ‘smart partnership’ yang baik dan harus diucapkan tahniah kepada mereka dan mudah-mudahan rakyat dapat memberikan kerjasama atas usaha yang dilakukan ini.

“Jangan jadi sepertimana yang berlaku di sebuah negara luar iaitu apabila arahan di keluarkan tetapi rakyat masih tidak duduk di rumah, masih bersantai dan masih sempat berkumpul. Ini menyebabkan jumlah kematian di negara berkenaan lebih tinggi berbanding dengan sebuah negara yang mungkin ramai penduduknya di dunia tetapi dapat mengawal penyebaran COVID-19 dengan segera.

“Saya harap ini tanggungjawab kita bersama dan mudah-mudahan Allah swt akan memberikan perlindungan kepada kita semua,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.