Puteri UMNO Cakna Bantu Petugas Barisan Hadapan Tangani COVID-19 – Dr Masliha


KUALA LUMPUR, 20 Mac – Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun menyeru rakyat agar memberi bantuan kepada doktor serta kakitangan perubatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

Katanya, perkara yang dilakukan oleh Pergerakan Puteri UMNO sangat bertepatan iaitu dengan mengambil berat untuk memastikan kesihatan rakyat dalam keadaan terjamin, selamat dan terkawal dari penularan COVID-19.

“Tindakan ini sesuatu yang sangat bagus… kita lakukan di kala kita tahu para petugas barisan hadapan ini (front liners) sedang berusaha keras untuk memastikan kesihatan warga Malaysia dalam keadaan kekal sihat dan selamat.

“Sebagai seorang doktor, saya amat terharu akan jasa Puteri UMNO Malaysia yang amat cakna atau mengambil berat akan kesusahan kami para petugas. Mungkin dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat terubat keletihan kami,” katanya kepada UMNO Online hari ini, di sini.

Tambah Dr Masliha yang juga Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai turut menjelaskan sumbangan tersebut sangat bererti bagi petugas barisan hadapan.

“Tindakan baik ini juga seolah-olah akan menyuntik semangat para petugas seperti kami kerana kita rasa ada yang sayang dan hargai,” ujarnya.

Dilaporkan, berikutan penularan COVID-19, Puteri UMNO telah melancarkan misi bagi mengumpul dana untuk membantu golongan petugas kesihatan yang terlibat hal tersebut. Sumbangan dana ini boleh dibuat melalui:

Bank Kerjasama Rakyat
No Akaun: 1100 7100 6115

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Puteri
UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.