COVID-19: Rakyat Diseru Beri Sokongan Padu, Jangan Rendahkan Keupayaan – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menyeru dan memohon seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan padu buat seluruh warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam menangani COVID-19.

Katanya, mereka sangat memerlukan sokongan dan doa rakyat Malaysia agar COVID-19 dapat dihapuskan dengan segera.

Terdahulu beliau melahirkan rasa kesal denagn sikap netizen yang mengkritik Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba dan merendahkan kebolehan dan keupayaannya.

“Saya kesal dengan sikap negatif netizen yang mengkritik Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu program bual bicara semalam.

“Ada juga yang mempolitikkan isu ini dengan merendahkan kebolehan dan keupayaan beliau sebagai Menteri Kesihatan,” katanya dalam kenyataan menerusi facebook beliau hari ini.

Tegasnya, dalam situasi sebegini, usahlah kita terlalu taksub dengan politik kepartian yang akan menambah burukkan lagi keadaan.

“Pihak media juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat di mana tajuk seperti ‘Menteri Kesihatan batuk, melalut jawab soalan program siaran langsung’ sudah tentu membawa imej yang negatif terhadap Menteri Kesihatan

Beliau juga merujuk kepada tulisan Dr Adham di facebooknya yang menyatakan dirinya baik-baik saja.

“Jadualnya yang padat dan pengorbanannya merisikokan diri sendiri sebagai ‘front-liner’ dalam pandemik COVID-19 seharusnya dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Bukan mudah tugasnya tapi saya yakin beliau mampu melaksanakan nya di saat negara dilanda krisis ini,” katanya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Setakat tengahari ini sebanyak 130 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes melepasi angka 1,000 iaitu 1,030 kes. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.