Rakyat Terus Bertanya Dan Bertanya… Apa Lagi Aset Milik Rakyat Yang PH Akan ‘Dilelong’?

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata rakyat di negara ini pasti akan terus bertanya apakah lagi aset-aset milik rakyat yang akan ‘dilelong’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bidasnya, apa guna menteri yang bangga diri bila digelar ‘menteri haji’ tetapi terus gagal mempertahankan kepentingan rakyat dalam institusi kewangan terbesar orang Islam di Malaysia.

“Selepas siri penjualan aset-aset Tabung Haji (TH) oleh kerajaan PH, kali ini mereka menghentikan pula operasi hotel-hotel milik TH di Kota Kinabalu, Penang, Kedah dan Terengganu yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2020.

“Pelik bin ajaib, bila ianya berlaku selepas aset-aset ini dipindah milik kepada syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Siapa Menteri Kewangan? Soalnya di dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Ulasnya lagi, rakyat pasti akan terus bertanya, adakah ini permulaan perancangan jahat menteri PH terhadap aset-aset pemilikan orang Islam dalam negara ini.

“Apakah nasib kakitangan hotel-hotel TH yang majoritinya orang Islam Melayu selepas tempat mereka mencari rezeki dihentikan operasi? Tanyanya lagi.

Tambah Zahida, walaupun sudah hampir dua tahun PH mentadbir Putrajaya, menteri-menteri PH cuba menutup kegagalan mereka dengan terus menyalahkan kerajaan lama dengan mencipta propaganda dan fitnah kononnya kerajaan terdahulu mencuri wang rakyat dan sebagainya.

“Ironinya, kerajaan hari ini yang berlagak telus bersih ini semakin hari semakin rakus menggadai aset rakyat satu demi satu.

“Siapa pembela rakyat, siapa pencuri? Bidasnya.

Sindir Zahida juga, hasil daripada ‘kecekapan pentadbiran’ kerajaan kononnya telus itu juga, pendeposit TH menikmati Hibah sebanyak 1.25% pada tahun 2018 yang tertinggi dalam sejarah tamadun manusia berbanding 6.25% pada tahun sebelumnya.

Semalam, tular surat TH memaklumkan keempat-empat hotel tersebut akan diberhentikan operasi setelah dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ), tetapi hari ini mereka mengeluarkan kenyataan bahawa tiada penutupan operasi, hanya penukaran nama hotel ke Raia Hotel disebabkan penukaran pemilik kepada anak syarikat hak milik penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.