PRK Kimanis: Rakyat Hilang Keyakinan, PH-Warisan Lakukan Kerosakan – Tajuddin

KIMANIS, 8 Jan – Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Kimanis, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) kini berdepan dengan sokongan difisit dan kepercayaan rakyat kerana terlalu banyak kerosakan dan kelemahan semenjak mentadbir negara.

Jelas beliau, rakyat Sabah merasakan tidak yakin dengan pentadbiran Warisan yang tiada hala tuju dan bukannya membela nasib rakyat sebaliknya semakin terbeban.

“Ramai yang rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Warisan yang gagal menunaikan janji malahan Warisan membuat dasar dan tindakan yang tidak disukai dan ditentang oleh rakyat… ini merugikan rakyat Sabah.

“Kita tahu kerajaan Warisan ini ‘bapaknya’ ada di Kuala Lumpur iaitu kerajaan PH yang didominasi oleh Dap. Rakyat sudah tahu bahawa Warisan ini tidak berkeupayaan dan gagal disebabkan oleh Dap.

“Dap sebenarnya tidak mahu membantu negeri Sabah dan tiada agendanya tapi hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Sekarang ini rakyat Malaysia sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan yang dikatakan ‘membela rakyat’ tapi sebenarnya yang mereka ‘bela’ adalah orang-orang dari parti mereka (PH) sendiri,” katanya semasa Diskusi PRK (P176) Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan lantaran rakyat sudah ‘hilang kepercayaan’ terhadap kerajaan PH dan Warisan ini maka ‘ubah balik’ untuk memberikan peluang yang sangat baik kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kimanis ini.

“PH hanya tahu menjual harta kerajaan sedangkan mereka sepatutnya mewujudkan pendapatan ekonomi dan melebarkan penerokaan dalam bidang-bidang baru. Sekarang rakyat yang menanggung di atas kegagalan kerajaan dalam sektor ekonomi apabila kerajaan mengenakan cukai-cukai baru.

“Kerajaan Warisan dan PH sekarang ini sedang menghadapi ‘krisis’ untuk mengembalikan semula keyakinan pelabur, kuasa beli rakyat, pandapatan negara, pertumbuhan ekonomi dan keseluruhannya. Ini bukannya mudah yang kasihannya adalah rakyat menjadi mangsa,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, apa jua bentuk cukai yang baru ia memberi bebanan kepada rakyat untuk hidup dan ini tidak wajar diperkenalkan kerana ia menyusahkan rakyat.

“Kerajaan sepatutnya mengurangkan bebanan rakyat dan kerajaan haruslah mencari punca-punca pendapatan yang lain, lagi-lagi dalam keadaan terhimpit.

“Kalau mereka telah sedar di atas kesilapan selama dua tahun memerintah dan hendak mengubah balik dengan memperbaiki ekonomi negara, maka buatlah tetapi ia tidak begitu mudah… kerosakannya begitu teruk telah dilakukan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.