PH Beri ‘Tax Holiday’, Akhirnya Rakyat Sengsara – Othman
KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan digantikan dengan cukai terkebelakang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sangat merugikan negara dan dalam masa yang sama akhirnya rakyat yang menanggung beban.Kata wakil Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz, semalam.
Katanya, berbeza dengan hasil GST, negara dapat menampung segala kos dan perbelanjaan secara teratur manakala rakyat pula dapat menikmati dari hasil tersebut.
“Apabila Pakatan Harapan (PH) menang…mereka ghairah dan mengumumkan pemansuhan GST dan terlupa bahawa GST itu sumber hasil negara sebanyak RM40 bilion. Memberi ‘tax holiday’ tiga bulan dan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mencuri wang sebanyak RM 90 Bilion duit hasil GST.
“Mereka tidak sedar dan memberi keseronokan kepada penyokong mereka, hapuskan GST dan gantikan SST kononnya akan turun harga barang dan sebagainya,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang menutup tirainya semalam.
Othman menjelaskan bermacam-macam tohmahan dan fitnah yang diberikan oleh kerajaan PH sehingga rakyat terpengaruh dengan dakyah mereka.
Sementara itu, Wakil Negeri Perak, Jamilah Zakaria dalam membahaskan usul yang sama menjelaskan ujian yang diberikan oleh Allah adalah hikmah dan perlu membuat penambahbaikan serta jangan melakukan kesilapan yang lalu.
“Setelah setahun enam bulan…ada nampak cerah selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) tapi jangan cepat bermegah.
“Kalau kita lihat PH ini semakin merudum. Walaupun rakyat tidak suka PH namun belum tentu rakyat suka BN dan sebab itu UMNO kena berubah dulu. UMNO perlu membuat perubahan dan perlu politik baru dengan naratif yang lebih segar,” katanya.
Jamilah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong menegaskan UMNO perlu mengangkat kepercayaan rakyat dan juga menyegerakan hala tuju, pelaksanaannya dan perlu dilakukan secara inklusif. – UMNO ONLINE