PH Digesa Cari Langkah Tangani Pengangguran – Ismail


KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk mencari alternatif bagi menangani masalah pengangguran di samping dapat menimbang untuk menyerap pekerja kontrak dalam perkhidmatan tetap dan berpencen dalam perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, pengangguran dalam negara melibatkan 523 ribu orang dan angka ini meningkat dari tahun ke tahun apabila graduan dari universiti melibatkan 200 ribu orang keluar selain sebanyak 174,327 penganggur memohon pekerjaan dalam ‘Job Malaysia’.

“Memang kita akui sekarang ada 1.7 juta penjawat awam dalam negara kita dan nisbahnya 79.66% bumiputera.

“Saya yakin 22 tahun Tun Dr Mahathir menerajui kerajaan dahulu nak melihat kepada orang Melayu supaya tak begitu ketinggalan dan ada tempat pendapatan yang baik untuk menyara keluarga masing-masing dan saya harap tongkat orang Melayu ini tidak dibuang,” katanya dalam soalan tambahan kepada Perdana Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Soalnya, selain daripada umur saraan meningkat daripada 55 kepada 60 tahun bagaimana PH hendak memastikan supaya kadar pengangguran dalam negara berkurangan terutama dalam keadaan mengekalkan perkhidmatan berpencen terutama untuk rakyat khususnya 80 peratus orang Melayu dan juga bagaimana keadaan pekerja kontrak yang
melebihi 50 ribu dalam negara.

“Saya harap kerajaan juga dapat menimbang untuk menyerap pekerja kontrak ini dalam perkhidmatan tetap dan berpencen dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Jawapan kepada persoalan tersebut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan memang prihatin tetapi kutipan cukai tidak mencukupi untuk membiayai persaraan yang semakin bertambah. – UMNO-ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.