Dasar Dan Pelaksanaan Cukup Celaru, Gambaran Sebenar Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kerajaan hari ini dilihat cukup bercelaru dalam penggubalan polisi mahupun dasar serta pelaksanaannya yang memperlihatkan sesuatu perkara itu tidak dibincang secara konsensus di kalangan mereka.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata ini dapat dilihat apabila dasar pun tidak sama dan pelaksanaan pun tidak selari malah apabila dibuat dasar-dasar baru pun tidak dibincang secara konsensus dalam jemaah kabinet.

“Dasar kerajaan nak kena tengok dengan jelas… keduanya apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan ataupun dasar dia mesti dipanggil ‘collective responsibility’ di kalangan menteri-menteri sebab siapa kerajaan… maka kabinet itulah yang buat dasar.

“Dua isu ini kalau kita tengok dari segi dasar paling mudah, kita tengok Menteri Hal Ehwal Pengguna dia perkenalkan subsidi petrol bersasar. Saya kata itu satu cadangan yang baik.

“Bermakna kalau kita nak buat kena bersasarlah, tidak semua dapat tetapi pada masa yang sama Menteri Pendidikan pula beza, daripada dulu kita beri sarapan pagi kepada murid-murid sekolah secara bersasar iaitu yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Namun hari ini katanya pengumuman Menteri Pendidikan nak berikan kepada semua pula.

“Nampak tak kontradik. Satunya dulu tidak bersasar sekarang nak bersasar… dulu tidak bersasar subsidi minyak, pendidikan pula yang dulu bersasar tidak bersasar dah… nak berikan kepada semua. Ini daripada segi dasar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Dari Parlimen’ terbitan Penerangan UMNO TV, di sini, Khamis malam.

Tambah Noh lagi dari sudut pelaksanaan pula dapat dilihat percanggahan yang jelas antara mereka.

“Daripada segi pelaksanaan kita tengok Menteri Hal Ehwal Pengguna kata nak bagi minyak bersasar… kata nak duit tunai kepada mereka yang menerima BSH, B40 dan dalam masa yang sama Menteri Kewangan pula kata yang mana bukan bawah BSH akan diberikan kad.

“Jadi dalam parlimen bila kita tanya Menteri Hal Pengguna, beliau kata dia akan bincang dengan Menteri Kewangan,” katanya.

Bagi beliau apa yang berlaku itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Jadi ini menunjukkan bahawa nak laksana itu mungkin Menteri Kewangan tidak berbincang dengan Menteri Hal Ehwal Pengguna.

“Idea, dasar yang dibuat Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan biarlah kementerian yang rancang dan laksanakan dasar yang mereka buat,” tambahnya.

Jelasnya, satu contoh lagi adalah dalam isu perumahan apabila diumumkan dalam Bajet 2020 baru-baru ini berkaitan had kelayakan pembeli rumah bagi orang luar.

“Dulu dasar kita kata kalau nak jual harga itu RM1 juta ke atas. Waktu saya jadi menteri KPKT dulu saya pernah nak cadang…. RM1 juta ni sedikit tetapi kalau boleh dinaikkan RM1.5 juta atau kita pakai dalam USD.

“Tetapi apabila kita bincang sebelum kita nak bawa dasar ini ianya mesti dibawa ke dalam kabinet dan kena dengar pandangan rakan-rakan kabinet.

“Barulah satu dasar baru tetapi hari ini kita tengok apabila nak melibatkan dasar baru pada harga rumah RM1 juta yang boleh dijual kepada orang luar terus diumumkan rumah, kondominium, pangsapuri atau sebagainya yang diturunkan RM600 ribu diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam bajet,” ujarnya.

Ujarnya lagi perkara terbabit mengejutkan Menteri KPKT sendiri apabila kenyataan dibuat mengatakan beliau sendiri pun tidak tahu dan tidak dibawa berbincang.

“Nampak tak… sebab itu saya tanya dalam parlimen ini bajet kerajaan atau pun bajet Dap? Buat satu-satu dasar baru Menteri Kewangan sahaja. Dia nak umum dia umum tanpa berunding dahulu dengan kementerian yang bertanggungjawab dalam satu-satu dasar,” ujarnya lagi. – UMNO Online