Bajet 2020 Untuk Siapa Sebenarnya?

SAYA telah menelaah Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng kelmarin.

Sebagai seorang bekas penjawat awam yang banyak terlibat dalam penyediaan Bajet tahunan negara dan rancangan serta dasar-dasar jangka panjang Malaysia sebelum ini daripada peringkat bawah ke peringkat tertinggi, saya mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan dan pengalaman berkenaan Bajet tahunan Persekutuan ini.

Pada hemat saya secara keseluruhannya, tidak ada perkara baru yang signifikan dalam Bajet 2020 tersebut.

Banyak initiatif-initiatif dan idea-idea yang ada dalam Bajet 2019 dan 2020 telah dicedok daripada Bajet kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dan diubahsuai sedikit sebanyak serta ditukar nama dan baju (rebranding).

Namun demikian, mengikut pemerhatian saya ada beberapa perkara yang tidak kena dengan Bajet 2020 ini:

Peruntukan-peruntukan mengurus untuk sektor ekonomi telah dikurangkan daripada RM20 bilion pada zaman BN kepada RM17 billion dalam Bajet 2020.

Yang paling terkesan dengan pengurangan ini adalah para petani, nelayan dan usahawan-usahawan desa apabila peruntukan-peruntukan kepada mereka kini dipotong sebanyak berjuta-juta ringgit berbanding pada zaman BN.

Contohnya, kalau dulu semasa zaman BN nelayan mendapat elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan, kini ini dipotong 16% kepada RM250.

Kalau dulu orang bujang dapat bantuan sara hidup RM450, kini dipotong 33% kepada RM300.

Kalau dulu Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat RM350 sebulan, kini dipotong 14% kepada RM300.

Kalau dulu guru KAFA dapat RM1,500 setahun, kini dipotong 33% iaitu RM100 sebulan (RM1,200 setahun).

Kalau dulu Imam, Bilal dan Tok Siak dapat bantuan RM1,500, kini dipotong 33% kepada RM1,200.

Kalau dulu kita bantu 7 juta penerima BR1M, kini hanya 3.9 juta sahaja dapat Bantuan Sara Hidup (BSH).

Dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup dan kesukaran mendapat bantuan sara hidup kini, rakyat semakin tertekan dan orang miskin dan berpendapatan rendah semakin terpinggir.

Namun perbelanjaan besar seperti projek gentian fibre bernilai RM21 billion yang menguntungkan kroni-kroni pemimpin kerajaan dan anak-anak Perdana Menteri diteruskan pula.

Dan projek kereta kabel (cable car) yang baru untuk pelancong-pelancong di Bukit Bendera Pulau Pinang yang memakan kos RM100 juta diperkenalkan.

Di saat ekonomi sedang merudum kini di mana rakyat sedang tertekan dan susah, adakah bijak untuk kerajaan berbelanja untuk projek sebegini yang tidak seberapa kritikal pada ketika ini atau untuk kemudahan pelancong tetapi memotong perbelanjaan untuk nelayan dan petani yang kebanyakannya miskin dan berpendapatan rendah?

Berapa banyak sangat peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan oleh projek-projek kroni ini jika dibandingkan dengan berjuta-juta rakyat yang susah dan tertekan dan tidak mendapat bantuan kini di kala ekonomi sedang merudum?

Bila ekonomi sedang sakit dan rakyat sedang menderita, kita sepatutnya tangguhkan dahulu projek-projek mega jangka sederhana untuk membantu meringankan beban rakyat yang susah di depan mata.

Buat apa ada cable car yang berkilat untuk pelancong dan gentian fibre yang canggih jika rakyat tidak makan.
Jika rakyat lapar kebuluran, mereka tidak boleh makan gentian fibre atau cable car.

Golongan pertengahan (M40) yang ramai tinggal di bandar-bandar terutama orang-orang muda juga terkesan dengan Bajet 2020 ini terutama mereka yang mencari untuk membeli rumah mampu milik.

Apabila had harga pembelian rumah kepada rakyat asing diturunkan kepada RM600,000 daripada RM1 juta, ia memberikan sekurang-kurangnya dua kesan negatif kepada rakyat tempatan.

Pertama, harga rumah terutama di bandar-bandar akan menjadi lebih mahal sebab kita kena bersaing dengan pembeli dari negara asing yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih besar dengan tukaran wang asing yang menyebelahi mereka kini apabila nilai ringgit semakin lemah.

Kedua, bilangan rumah mampu milik akan menjadi semakin sedikit kerana pemaju akan lebih mempunyai insentif untuk membina rumah mahal sebab mereka tahu jika mereka tidak boleh jual kepada rakyat tempatan, kerajaan akan benarkan mereka untuk menjual kepada rakyat asing yang lebih berkemampuan.

Dasar kerajaan ini sebenarnya adalah satu jalan pintas untuk membantu pemaju melepaskan diri dari masalah mereka, namun ia menerukkan masalah rakyat untuk memiliki rumah mampu milik.

Mengapa kerajaan ingin membantu pemaju tetapi pada masa yang sama menekan dan tidak menghiraukan masalah rakyat?

Sepatutnya kerajaan membiarkan pasaran untuk membuat pembetulan harga ke atas harga rumah supaya harga rumah turun untuk pembeli tempatan, bukannya membantu pemaju untuk mengekalkan harga jualan yang tidak mampu dibeli oleh rakyat tempatan dengan menjual pula kepada rakyat asing.

Bajet 2020 ini untuk siapa sebenarnya?

Untuk penjawat-penjawat awam, kalau dahulu semasa zaman BN kita ada skim Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk menampung kenaikan kos sara hidup setiap tahun terutama untuk penjawat-penjawat awam bergaji rendah, kini skim ini tiada lagi dan bantuan khas yang dahulu RM1,500 kini dipotong 66% kepada hanya RM500.

Golongan belia, mahasiswa dan graduan juga terkesan dengan Bajet 2020 ini.

Walaupun bajet pendidikan meningkat sebanyak RM4 billion ringgit, peruntukan untuk universiti-universiti awam tidak disebut di dalam ucapan Bajet semalam.

Hal PTPTN juga tidak disebut oleh itu dianggap kekal seperti tahun lepas.

Para graduan masih perlu bayar PTPTN walaupun mereka bekerja dengan gaji minimum atau menjadi buruh kasar yang tidak ada kena mengena dengan ijazah mereka akibat kegagalan kerajaan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang bermaruah untuk mereka.

Menteri Kewangan juga mengatakan bahawa hasil cukai di Malaysia masih rendah di paras sekitar 13% daripada saiz ekonomi negara berbanding negara-negara lain seperti Korea Selatan iaitu di paras 15%.

Sebenarnya, penghapusan GST oleh kerajaan PH sebelum ini telah menerukkan lagi hal ini apabila kutipan cukai dan hasil kerajaan menurun sebanyak lebih RM20 billion kerana ketirisan SST di mana SST memudahkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk lari dari cukai.

Dan untuk pengetahuan Menteri Kewangan, di Korea Selatan ada GST yang dikenali sebagai Value Added Tax (VAT), dan kadar GST Korea Selatan ini adalah 10% iaitu lebih tinggi daripada 6% di Malaysia sebelum ini.

Seperkara lagi, unjuran ekonomi dunia sedang menurun.

Malaysia juga dijangka akan terkesan dengan hal ini.

Dalam keadaan ini rakyat dan pelabur dijangka akan mengurangkan perbelanjaan kerana ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.

Apabila ini berlaku pertumbuhan ekonomi negara kita juga akan terkesan dengan penguncupan jualan barangan dan perkhidmatan lantas pengurangan peluang-peluang pekerjaan dan pendapatan individu dan syarikat.

Apabila ini berlaku kutipan cukai dan hasil kerajaan juga akan berkurangan.

Oleh itu adakah munasabah untuk masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi di paras melebihi 4.5% dan pendapatan kerajaan di paras RM244.5 billion, atau adakah unjuran ini juga akan tersasar seperti mana unjuran harga minyak dalam Bajet 2019 yang lepas?

Isham Jalil
Presiden Sukarelawan Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.