BN Sedia Lakar Kemenangan, Bakal Realitikan Semangat Juang Di Tanjung Piai


Persoalan siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor masih belum terjawab malah ramai yang masih berteka-teki antara UMNO dan MCA untuk menduduki kawasan tersebut.

Namun demikian, keyakinan untuk mengulang kejayaan BN sebagaimana menerusi PRK Cameron Hinghlands, Semenyih dan Rantau bakal direalitikan dengan kesungguhan anggota parti untuk bekerja termasuklah dari UMNO dan MCA sendiri.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mengalami kekosongan apabila penyandangnya, Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi 21 September 2019.

Sebagai saudara se-Islam, berita kematian itu diterima dengan rasa sedih dan memanjatkan doa semoga roh Allahyarham di tempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan diberikan ketabahan pada keluarga arwah.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dengan majoriti 524 undi.

Pada 1 Oktober, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK ini dan telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 2 November manakala hari mengundi pada 16 November.

Masih belum terjawab, adakah UMNO akan mengambil kerusi parlimen ini atau mengekalkan MCA sebagai wakil calon BN pada PRK Tanjung Piai?

Untuk rekod, seramai 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 dan pengikut pecahan kaum sebanyak 56.8% Melayu, 41.64% Cina, 1% india dan lain-lain 0.55%.

Memang terdapat pelbagai pihak mendesak pucuk pimpinan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar suara akar umbi yang mahukan laluan diberi kepada calon UMNO.

Memetik pula kata-kata dari bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang ditulis dalam blognya pada 26 September 2019 yang menegaskan: tiada istilah kubu kuat MCA tanpa undi orang Melayu. Sebaliknya, ia adalah kawasan majoriti orang Melayu dan kubu kuat UMNO yang diberikan kepada MCA merupakan amalan dan ihsan UMNO semenjak PRU1 (1955) bagi memberi representatif kepada bangsa Cina, manakala MIC, hingga ke hari ini, tidak mungkin memenangi satu kerusi pun secara bersendirian.

Jelas beliau lagi, mereka bertanding dan menang di kawasan-kawasan seperti itu atas ihsan UMNO dan orang Melayu.

Ini pengorbanan UMNO yang ahli-ahli UMNO, MCA, dan MIC perlu ingat dan sedar. Beliau turut menyentuh soal Parlimen Tanjung Piai, UMNO telah bermurah hati memberikannya kepada MCA dan jika pemimpin-pemimpin MCA bertanding di kawasan majoriti Cina, mereka akan kalah disebabkan MCA tidak mendapat sokongan daripada orang Cina. Pada PRU11 (2004), kerusi ini diberikan pada Presiden MCA, Ong Kah Ting, walaupun beliau berasal dari Lenggong, Perak. Apa kaitannya dengan Tanjung Piai, Johor? Membuktikan bahawa kawasan ini diberikan atas ihsan UMNO dan menang atas ihsan pengundi Melayu.

Dalam hal ini, kepimpinan pusat memaklumkan segala keputusan akan dibuat secara kolektif dengan persetujuan bersama anggota BN setelah dibincangkan dan disepakati bersama dan pengumuman calon hanya akan dibuat setelah semua kajian, perundingan dan urusan dimuktamadkan.

Tentunya keputusan akan dibuat secara terperinci dengan mengambil pelbagai keutamaan sebagai fokusnya. Sedia maklum bahawa, beberapa siri PRK telah dilalui dan mendapat kemenangan hasil kesatuan orang-orang Melayu termasuk juga sokongan jentera BN di semua peringkat.

Gelombang politik orang Melayu yang mahukan UMNO-BN semula semakin kuat ditambah pula dengan Penyatuan Ummah bersama-sama PAS yang disokong dengan gerak kerja berterusan.

Apa yang pasti, PRK Tanjung Piai ini adalah kawasan yang penting dalam menterjemahkan siri penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) yang gagal dalam serba-serbi pentadbiran sama ada ekonomi, pendidikan, agama, sosial termasuklah nilai perpaduan semakin menumpul.

Sungguh, BN perlu meletakkan calon yang tepat untuk PRK Tanjung Piai dan calon ini perlulah mendapat sokongan dari akar umbi parti serta rakyat di Parlimen tersebut.

Tanjung Piai memerlukan seorang wakil untuk memikul tanggungjawab di Parlimen, memerlukan suara yang lantang untuk membawa permasalahan rakyat dengan kredibiliti mantap bagi menambah suaran BN.

Sebagai rumusan, bawalah semangat juang BN sebagaimana kemenangan di PRK Parlimen Cameron Higlands, DUN Semenyih dan DUN Rantau Ke Tanjung Piai, Johor kerana PRK ini adalah manifestasi kepada penolakan rakyat terhadap PH hari ini

Kepada Allah swt kita berserah. Salam perjuangan.


Aiman Ja’apar
Subang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.