Keselamatan Negara Terancam Era PH, Bidas Najmil

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata keselamatan negara kini semakin terancam apabila tular gambar serta video yang menunjukkan gerakan penyokong Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Katanya, LTTE adalah sebuah gerakan pemisah berasal dari Sri Lanka dan telah banyak mencetuskan huru-hara serta peperangan sejak awal penubuhannya.

“Hampir 32 buah negara mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas, malah Parlimen Eropah juga mengharamkan sebarang aktiviti melibatkan kumpulan ini.

“Oleh itu, LTTE ini tidak ubah seperti DAESH ataupun Al-Aqaeda kerana membawa ideologi radikalisasi dan berunsurkan kumpulan militan.

“Kini, Malaysia seolah-olah menjadi pusat operasi kumpulan pengganas ini dengan mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Malah, video tersebut juga memaparkan penglibatan pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti M. Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia),” tegasnya dalam satu kenyataan sambil disertakan pautan video yang tular itu.

Bidas Najmil lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, perkara tersebut sangat serius dan membimbangkan kerana keselamatan negara terancam kerana kumpulan pengganas ini mempunyai sokongan yang kuat di Malaysia.

“Kita juga tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai pusat operasi pengganas dan mencemarkan nama negara di mata dunia.

“Jika dahulu, kerajaan berjaya menumpaskan kumpulan Al-Maunah dan pelbagai lagi kumpulan militan.

“Mengapa pada hari ini sesetengah pemimpin PH dilihat mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas ini?” soalnya.

Justeru katanya, Pergerakan Pemuda UMNO mengucapkan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana akan melaksanakan siasatan lebih luas kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas itu.

Pemuda UMNO juga berharap bahawa siasatan akan terus dilakukan terhadap mana-mana pihak atau individu yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas ini kerana ianya mengancam keselamatan negara, tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.