#HPU914: Ke Arah Malaysia Bermaruah

HARI ini menjadi detik yang berharga dan tercatat dalam lebaran sejarah negara sebagai titik tolak kepada pembinaan ke arah Malaysia yang lebih bermaruah. Himpunan penyatuan ummah inilah yang akan menjadi pemangkinnya. Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-‘Allamah Al-Syeikh Abdullah bin Bayyah menyatakan “Kesatuan adalah suatu pilihan. Ia perlu diraikan secara tadarruj (berperingkat) dengan melihat kepada konteks masa, tempat, dan juga manusia.

Ternyata bukannya mudah bagi UMNO dan PAS merealisasikan himpunan pada hari ini dan esok, berbondong-bondong ke PWTC dengan berpakaian putih menggambarkan kita kembali kepada fitrah insani kesatuan mengatasi segalanya, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang semuanya ini adalah ketentuan Ilahi yang disertakan dengan usaha daripada kedua-kedua pihak. Secara asasnya umat Islam disifatkan sebagai sebuah umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bemaksud:

“Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).
Surah Al-Anbiya’ 92

Pada peringkat awal tercetusnya agenda penyatuan ini, pelbagai sindiran dan ungkapan sinis yang diberikan. Tidak kurang juga andaian semborono berkaitan dengan kandungan piagam dengan membuat ‘prejudgement’ memberikan penilaian yang negatif walaupun tiada sebarang maklumat mengenai konsep Piagam UMNO-PAS. Semua ini berlaku kerana ada pihak yang cukup prihatin dengan penyatuan ini. Bahkan ada yang cuba menjadi penghasut supaya agenda ini terbantut dan terlerai.

Penyatuan ini, berlandaskan kepada keimanan, akidah dan keikhlasan. UMNO dan PAS berkeyakinan bahawa al-‘Izzah (kekuatan, kemuliaan dan keunggulan) hanya diperolehi daripada Allah menerusi Islam dan penyatuan sepertimana yang dinyatakan oleh Saidina Umar ibn al-Khattab r.a” Sesungguhnya kita dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah muliakan kita dengan Islam, maka andainya kita cuba mencari dengan yang lain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.

Mendapatkan al-Izzah daripada Allah menjadi asas penyatuan dan mengangkat martabat umat berdasarkan. Islam yang merupakan agama Persekutuan yang wajib dipertahankan. Bukan soal survival UMNO atau Pas dalam politik yang menjadi tujuannya, tetapi survival orang Islam, Melayu dan seluruh rakyat menjadi pertaruhan dan perhitungan.

Kempen utamakan produk Muslim atau ‘buy Muslim first’ (#BMF) adalah manifestasi awal penyatuan ummah, lahir daripada kesedaran dan kesatuan orang Melayu Islam terhadap kepentingan membangunkan kembali ekonomi umat Islam dengan ikhtiar memulakan kempen menggunakan produk yang “halalan Toyyiban” bersih dan diyakini sepertimana yang sabdaan Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Menuntut (mencari) yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam”
(riwayat ad-Dailami)

Kempen BMF tidak pernah dan tanpa niat untuk memboikot barangan bukan Islam. Ia hanyalah seruan agar umat Islam mengutamakan barangan buatan Islam. Sebab itu seruan yang digunakan adalah “Buy Muslim-made first”, bukan “Buy Muslim-made only”. Kempen ini dilihat berpotensi memecahkan oligopoli ekonomi iaitu konsep perniagaan yang dikuasai oleh kumpulan peniaga tertentu bagi mengaut keuntungan dengan penawaran barangan pada harga mahal. Perlu diingat keseluruhan isu BMF ini perlu dilihat dengan perspektif yang betul.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengkritik kempen mengutamakan membeli barangan keluaran Muslim, menyerlahkan sikapnya yang dilihat tunduk kepada kehendak rakan sekutunya berbanding kepentingan ekonomi orang Islam dan Melayu.

Tindakan sesetengah pihak mengambil kesempatan menggunakan logo halal palsu juga telah menjerumuskan pengguna Islam menggunakan barangan yang diragui daripada aspek halal dan secara tidak langsung menjadi antara faktor kempen tersebut digerakkan. Masyarakat bukan Islam harus faham bahawa kempen ini bukan bertujuan memboikot barangan bukan Islam dan tidak harus dijadikan isu yang boleh memecahbelahkan keharmonian kaum di negara ini.

Saban minggu negara berhadapan dengan situasi dan berita negatif telah menghakis harapan rakyat bahawa kerajaan hari ini adalah “good govenance” dan bersih sepertimana yang dijanjikan sebelum ini. Kegagalan kerajaan dalam pentadbiran dan menguruskan isu dengan baik serta berhemah antara faktor yang merimaskan rakyat. Tambahan pulak pada masa yang sama ada kalangan pemimpinnya terpalit dengan skandal demi skandal yang amat memalukan. Situasi dan kejadian negatif ini menggambarkan negara ditadbir oleh pentadbiran kakistokrasi yang songsang sifatnya.

Bagi mengisi kelompongan dan kepincangan tersebut UMNO dan PAS bertekad menjadikan himpunan pada hari ini dan kemuncaknya esok dengan termeterai Piagam Muafakat Nasional sebagai ikatan penyatuan ummah ke arah Malaysia yang lebih bermaruah. Kita tidak menawarkan harapan semata-mata tetapi kita membuktikan kesungguhan untuk melaksanakan dengan Piagam Muafakat Nasional sebagai pemangkinnya, bukan membina harapan palsu.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, agama, status dan fahaman politik, kita seia sekata dan senada menyokong penyatuan ummah, sekurang-kurangnya kita memakai pakaian berwarna putih pada hari ini dan esok. Penyatuan ini bersifat inklusif dan holistik menyantuni semua, demi watan anak cucu kita dan Malaysia yang lebih bermaruah.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan