Cukup-cukuplah Tuduh Melayu Pemalas, Yang Malas Itu Ada Dalam PH – Hairi

KUALA LUMPUR 9 Sept – Ketua Pemuada UMNO  Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah kesal apa yang diucapkan Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Melayu ini pemalas.

Katanya amat menghairankan kenyataan Tun Mahathir tentang Melayu pemalas keluar ketika umat Islam yang rata-ratanya Melayu, bersatu hati bagi membangunkan ekonomi ummah dengan menggerakkan kempen beli barangan Muslim.

“Cukup-cukuplah tuduh Melayu bangsaku pemalas, Melayu tak pemalas Tun, tetapi hak Melayu sering dinafikan, hak Melayu sering dipersoalkan, hak Melayu sering dicantas oleh kroni-kroni Tun. Cukup-cukuplah Tun kata Melayu pemalas, apakah dasar kerajaan pimpinan Tun hari ini sudah tidak lagi mahu pedulikan Melayu.

“Melayu dalam Kabinet Tun M juga malas ambil tahu perihal ekonomi yang kian mengucup di bawah Menteri Kewangan Dap, dengan nilai mata wang yang terus merosot dan merudum

“Melayu dalam Kabinet Tun Mahathir pemalas sebab Melayu atau Menteri Melayu dalam PH malas dan takut mempertahankan bangsa Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu bila dihina,” katanya kepada UMNO-Online disini.

Tegas beliau, Melayu yang malas ada dalam Pakatan Harapan (PH), ada dalam PPBM, PKR dan PAN dan Melayu pemalas juga ada dalam Kabinet kerajaan PH.

“Melayu dalam PH malas mempertahankan pasukan keselamatan negara atau tentera yang dihina, dipersenda dan dilecehkan oleh ahli perniagaan yang kaya-raya. Melayu PH malas, ambil tahu apa masalah rakyat, asalkan gaji menterinya berpuluh ribu, jelasnya.

“Tun M tak habis-habis katakan Melayu di negara ini pemalas, siapa yang jadikan Melayu pemalas, bukankah Tun yang didik Melayu menjadi pemalas dengan budaya kronisme.

“Melayu hari ini cukup rajin berusaha dalam keadaan ekonomi yang cukup menekan hari ini, dengan kos sara hidup semakin tinggi, ramai Melayu terpaksa buat dua atau tiga kerja dan terpaksa bekerja siang, malam untuk memenuhi tuntutan hidup.”

Katanya lagi secara sinis, Melayu memang pemalas, hanya Melayu anak-anak Tun saja yang rajin bekerja dan berusaha sejak di awal kelahiran lagi, sebab itu anak-anak Tun semuanya jutawan dan hartawan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.