PH Sengaja Sebarkan Fitnah, Janji Manis Dan Pecah Belahkan Melayu – Ahmad


BATU PAHAT, 31 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata terdapat hikmahnya apabila parti keramat UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

Ini kerana katanya, hari ini terbukti bahawa pelbagai fitnah dan tohmahan yang keji dilontarkan oleh Pakatan Harapan (PH) terutamanya sekali kepada pimpinan UMNO ternyata hanya fitnah dan PH berbuat demikian untuk memecah-belahkan orang-orang Melayu dengan mewujudkan pelbagai parti.

“UMNO kalah pada PRU ke 14 disebabkan kerana segala fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada pimpinan UMNO dan juga parti agar perpecahan orang Melayu dan Bumiputra terbahagi kepada berbagai-bagai parti.

“Janji-janji manis PH yang menarik minat golongan muda untuk menyokong mereka akan tetapi janji-janji itu akhirnya tidak dapat ditunaikan,” katanya semasa berucap dalam ceramah penyatuan Ummah peringkat negeri Johor, malam tadi.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menambah cara yang paling berkesan apabila hendak menentang PH adalah membanteras janji-janji manis dan fitnah mereka.

“Maka UMNO haruslah bersatu padu serta berganding bahu bersama dengan PAS serta pimpinan MCA, MIC dan Gagasan Sejahtera dan menyekat segala kemahuan PH yang rakus.”

Sehubungan itu Ahmad turut menggesa jentera untuk mengenalpasti pengundi kerana ada pengundi-pengundi yang mendaftar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi tidak pergi mengundi.

“Ini terbukti bahawa hanya 82 peratus sahaja yang hadir mengundi pada PRU lalu.

“Pada pandangan saya 18 peratus yang tidak hadir mengundi adalah orang Melayu dan Bumiputra. Jika dengan seramai mungkin dan ada kawasan-kawasan yang kita kalah tentu akan menang jika 18 peratus ini menghadiri pengundian tersebut.

“Kita kena daftarkan pengundi-pengundi muda kerana terdapat 4 juta pengundi yang mendaftar tapi tidak mengundi,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.