Lautan Manusia Banjiri Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0


PASIR SALAK, 30 Ogos – Puluhan ribu umat Islam tidak mengira latar belakang ideologi politik dan perjuangan dari seluruh pelusok negara berkumpul di sini sebagai tanda sokongan terhadap Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0.

Para peserta yang mula membanjiri Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik sejak petang tadi kelihatan bersemangat dengan laungan ‘Hidup Islam’, ‘Hidup Melayu’, ‘Daulat Tuanku’ serta takbir di samping kain rentang yang bertulis kata-kata semangat.

Himpunan ini yang akan berakhir dengan sambutan kemerdekaan adalah penzahiran secara nyata kebangkitan masyarakat khususnya bangsa Melayu untuk bersatu padu dan menentang mana-mana pihak yang cuba mencabar atau mengusik hak orang Islam dan Bumiputera.

Himpunan ini adalah rentetan daripada Himpunan Melayu Bangkit yang telah dilakukan pada 1 September tahun lalu dan Himpunan Perpaduan Ummah (17 November) yang telah berlangsung dengan jayanya hinggakan ICERD gagal diratifikasikan.

Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 ini mendapat dukungan kuat daripada dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan PAS yang akan menyatukan kepimpinan daripada kedua-dua parti dalam satu pentas.

Antara penceramah dalam himpunan ini ialah Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; serta mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.