Himpunan Arafah Antara Pengorbanan Dan Perpaduan


PADA hari ini jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke Arafah untuk ibadah Masyair yang merupakan kemuncak kepada ibadah haji iaitu hari yang dinanti-nantikan oleh semua bakal haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan yang paling penting adalah berwukuf di Arafah.

Di Saat wukuf di Arafat kita akan menyaksikan jutaan manusia dari pelbagai pelusuk dunia tanpa mengira bangsa, bahasa dan warna kulit berkumpul di Padang Arafah yang berkeluasan 18 km persegi.

Tanpa wukuf ibadat haji akan menjadi sia-sia. Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadat haji sabdanya yang bermaksud: “Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah)”.

Wukuf di Arafah adalah amalan yang sangat besar impaknya berikutan suasananya menggambarkan perjuangan, pengorbanan dan kepatuhan sebagai seorang hamba kepada penciptanya, apatah lagi ianya juga gambaran Padang Masyhar.

Ketika berwukuf sebaik-sebaik ibadah adalah berwirid, bertahmid, berzikir, beristigfar, bermunajat kepada Allah dan berdoa agar diampunkan dosa dan diterima segala amalan.

Wukuf mendidik jemaah haji berkaitan hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Kain ihram putih mendidik jemaah haji bahawa bukan pangkat, harta dan darjat yang membezakan setiap kita, tetapi yang membezakan kita ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Himpunan tahunan umat Islam di Arafah juga menjadi gambaran betapa perdamaian, perpaduan dan kesatuan menjadi kekuatan dan keutamaan dalam Islam. Ketika berwukuf di Arafah seluruh umat mampu berhenti sejenak dari memikirkan hal-hal dunia, bersatu hati merenung sejenak ke dalam hati dan memohon keampunan dan keredhaan kepada Allah SWT.

Gambaran ini seharusnya menangkis persepsi negatif bahawa umat Islam sebagai kumpulan yang gemar bersengketa, mencetuskan peperangan dan permusuhan.

Tahniah kepada Pengurusan Tabung Haji (TH) kerana semenjak ditubuhkan pada tahun 1969, tidak pernah gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah haji terutamanya ketika wukuf di Arafah.

Jika tahun ini sekitar 30,200 jemaah haji dapat berwukuf, tidak mustahil selepas ini kouta jemaah haji Malaysia boleh ditingkatkan sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Pada tahun 2017 seramai 42,200 jemaah Haji Malaysia berada di Tanah Suci untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima.

Perpaduan Ummah yang diusahakan antara UMNO dan PAS akan memberikan satu natijah yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Pada 13 hingga 14 September ini, himpunan penyatuan ummah bakal berlangsung di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur.

Putih menjadi warna tema himpunan. Rakyat di seluruh negara tanpa mengira fahaman politik, parti, institusi dan latar belakang digalakkan memakai pakaian putih pada tarikh tersebut sebagai tanda menyokong Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah. Himpunan aman ini bakal menyaksikan di acara kemuncaknya Meterai Piagam Ta’awun Siyasi UMNO- PAS yang akan menjadi lembaran baru politik tanah air.

Piagam Ta’awun Siyasi UMNO- PAS menjadi gambaran, walaupun begitu lama kedua parti terbesar orang Melayu Bumiputera ini bersengketa dalam politik, tetapi apabila melibatkan kepentingan bersama demi negara dan rakyat keegoaan politik kepartian dikesampingkan perpaduan ummah diutamakan.

Piagam Ta’awun Siyasi UMNO-PAS akan menjadi titik tolak kepada perpaduan dan kelansungan politik orang Melayu dan Bumiputera tanpa meminggirkan kaum lain.

Cabaran terbesar kepada ta’awun UMNO-PAS adalah menjaga dan mengaplikasikan kandungan dalam piagam yang dimeterai. Pengorbanan diperlukan bukan hanya di kalangan individu dalam parti bahkan parti secara amnya.

Formula kepada kejayaan ta’awun ini adalah menang-menang (win-win situation). Sering saya ingatkan bahawa tidak sesekali UMNO akan mengkianati ta’awun ini kerana ianya adalah amanah yang perlu dipikul bersama antara UMNO dan PAS.

Walaupun terdapat usaha-usaha bagi mengagalkan hasrat murni ini oleh pihak tertentu dengan memberikan pelbagai tohmahan dan andaian, Insya Allah dengan izinnya ta’awun ini mampu direalisasikan dengan sebaiknya.

Selain ibadah haji, pada bulan Zulhijjah juga, kisah pengorbanan Nabi Ismail a.s. dengan penuh kerelaan menyerahkan jiwanya untuk dikorbankan oleh ayahanda Nabi Ibrahim a.s kerana kepatuhannya kepada perintah Allah.

Pengorbanan ini menjadi titik tolak disyariatkan ibadah korban menjelang Aidil Adha. Di sebalik kisah pengorbanan suci ini, terselit beberapa hikmah, iktibar dan pedoman terutama kepada setiap pejuang UMNO di saat politik getir dan berkecamuk ini antaranya:

• Setiap pejuang pasti akan diuji oleh Allah SWT. Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling kuat menerima ujian daripada Allah SWT. Hanya mereka yang kental dan istiqomah dalam perjuangan mampu mengharungi ujian ini. Setiap ujian merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat diri seseorang.

• Akur, patuh dan bertaqwa kepada Allah SWT menjadi titik kejayaan dalam perjuangan. Kepatuhan Nabi Ibrahim kepada arahan Allah SWT menjadi titik tolak kejayaannya dalam perjuangan. Akur dan patuh kepada kepimpinan parti selagi tidak bercanggah dengan dasar perjuangan dan syariat.

Dua peristiwa besar dalam Islam ini membuktikan pengorbanan dalam perjuangan bukanlah satu proses yang asing.

Hari ini UMNO dan pendokongnya diuji. Kita jadikan Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina sebagai landasan membina kesepaduan dalaman parti dan membina perpaduan ummah UMNO-PAS.

Jadikan pengorbanan nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s sebagai teladan terbaik dalam perjuangan. Jiwa dan raga dikorbankan bagi melaksanakan perintah Ilahi.

Hari ini setiap pejuang dan pendokong UMNO diuji, hanya mereka yang berjiwa kental, ikhlas dalam perjuangan mampu bertahan dan beristiqomah dalam perjuangan.
Semoga dua peristiwa besar ini menjadi momentum dan sumber inspirasi bagi kita semua dalam perjuangan ini.

Ahmad Zahid Hamidi
#demiummah
#akhiratdidepan