Syed Saddiq ‘Merengek’ Macam Budak Hingusan, Heret Istana Johor Tutup Kegagalan Sendiri – Razlan


KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii membidas Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman yang menutup kegagalannya sebagai menteri dengan sengaja mensensasikan isu had umur belia.

Tegas Razlan, tindakan Ahli Parlimen Muar itu yang mensasarkan Istana Johor adalah semata-mata untuk menutup kelemahannya sendiri.

“Bukan hanya itu, beliau ‘merengek’ macam budak hingusan apabila mengadu perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan Presiden PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Sudahkah beliau mendapatkan pandangan Yang Amat Berhormat Amir (Amiruddin Shaari) Menteri Besar Selangor kenapa negeri Selangor menolak… kan Selangor antara negeri yang awal menolak cadangan ini?

“Demikianlah perangai Syed Sadiq yang sengaja mahu menutup kegagalan beliau dengan menuduh Istana Johor dengan pelbagai tuduhan. Sepatutnya beliau tidak terlalu ‘personal’ dengan Istana Johor,” kata Razlan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razlan tertarik untuk mengulas perkara tersebut sebaik sahaja membaca komen dan maklum balas dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenainya.

“Perdana Menteri juga ada banyak kerja, sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan profesional dan kebijaksanaan, bukan mengheret belia dalam kancah politik kotor Pakatan Harapan,” ujarnya lagi.

Isu umur had belia menjadi sensasi apabila negeri Johor mengekalkan had umur kepada 40 tahun dan secara jelas menolak permintaan Kerajaan Persekutuan.

Terang Razlan lagi, Syed Sadiq sebagai Menteri Belia dan Sukan sengaja membangkitkan isu ini apabila Johor menolak penurunan had umur belia sedangkan Selangor dan Sarawak lebih awal menolaknya.

“Kegagalan mendapatkan sokongan negeri-negeri untuk menurunkan had umur belia sudah pasti ada asasnya.

“Pendirian negeri Selangor, Sarawak, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah yang menolak cadangan ini bukan dibincangkan di tepi koridor atau ruangan Parlimen seperti apa yang Yang Berhormat Syed Sadiq lakukan. Majlis Belia membawa usul dalam mesyuarat dan membuat keputusan demi kebaikan belia.

“Semasa saya menjaga sukan di Wilayah Persekutuan, saya amat faham urusan Belia dan Sukan tertakluk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri. Justeru itu, YB Syed Sadiq sepatutnya menghormati urusan negeri dan bidang kuasa mereka, jangan campur tangan di dalam urusan negeri Johor,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.