Pihak Polis Diberitahu Ada Yang Tidak Kena Dengan Tindakan Terbaru Latheefa…


Gerakan Bangsa Nasional hari ini membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya, Selangor.

Laporan tersebut berikutan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Latheefa Koya pada 21hb Jun 2019 di mana beliau mengumumkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan melucutkan hak terhadap 41 responden.

Menurut Latheefa, tindakan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 56 AMLA 2001 bagi mendapatkan semula sejumlah wang bernilai RM270 juta yang kononnya dicuri dari 1MDB dan dipindahkan menerusi satu akaun bank milik Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya mendapati aneh pihak SPRM secara tiba-tiba memfailkan permohonan tersebut sedangkan kes Najib yang melibatkan bekas syarikat subsidari 1MDB, SRC International, turut berpaut kepada siasatan SPRM dan melibatkan tuduhan-tuduhan sama.

Sepatutnya, Latheefa lebih menumpukan perhatian kepada kegagalan bekas ketua SPRM, Dato’ Seri Mohd Shukri Abdull, untuk menyiasat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memandangkan berlakunya percanggahan di antara kandungan kertas siasatan yang disediakan Shukri pada tahun 2015 (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kertas siasatan”) dengan penafian yang dibuuat oleh Zeti tahun lepas.

Di dalam kertas siasatan tersebut, Shukri menceritakan bahawa Zeti tahu akan kemasukan dana RM2.6 bilion dari kerajaan Arab Saudi ke dalam akaun Ambank Najib dan sedia maklum identiti individu-individu dan syarikat-syarikat yang melakukan transaksi tersebut.

Malah, kertas Shukri turut merujuk kepada hubungan antara Zeti dengan wakil dari kerajaan Arab Saudi dan cadangan bekas Gebenor Bank Negara tersebut agar dana RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib. Saya pernah membuat laporan polis berkenaan perkara ini (rujuk video bawah).

Adalah mustahil seorang yang bergelar Gabenor Bank Negara tidak tahu akan kemasukkan dana RM2.6 bilion ke dalam negara sedangkan mana-mana transaksi merentasi sempadan melibatkan wang yang sebegitu banyak sudah pasti akan memerlukan kelulusan Bank Negara.

Biarpun begitu, pada 3hb Julai 2018, Zeti mengejutkan rakyat Malaysia apabila menafikan dakwaan Najib bahawa beliau menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaun bekas Perdana Menteri tersebut.

Justeru, saya membuat satu lagi laporan polis terhadap Zeti dan Shukri memandangkan penafian tersebut jelas bercanggah dengan kertas siasatan dan menimbulkan persoalan sekiranya kedua-dua mereka bersekongkol dengan Tommy Thomas untuk memanjangkan isu RM2.6 bilion ke mahkhamah semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Najib.

Latheefa seharusnya lebih menumpukan perhatian terhadap kemungkinan ini daripada melakukan permohonan yang bukan-bukan yang jelas bersandar kepada tuduhan semata-mata, bukannya bukti ataupun hasil siasatan yang sah.

Sepertimana yang telah saya katakan, saya mendapati begitu aneh pihak SPRM secara tiba-tiba memfailkan permohonan perlucutan hak sedangkan kes Najib yang melibatkan SRC turut berpaut kepada siasatan SPRM dan melibatkan tuduhan-tuduhan yang sama.

Malah, bukan hanya kes Najib masih berjalan di mahkhamah, saksi pihak pendakwaraya, Uma Devi, sendiri mengesahkan bahawa dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib merupakan hadiah dan sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

Tidakkah pelik tindakan SPRM yang terbaru dibuat sebaik selepas Uma membuat pengesahan tersebut?

Bukankah lebih bermanfaat sekiranya Latheefa menyiasat Shukri dan Zeti bagi mengenalpasti sekiranya benar berlaku satu konspirasi terancang melibatkan kedua-dua mereka untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Najib?

SUMBER: thethirdforce.net