Madrasah Ramadan: Ibrah Di Sebalik Ketewasan

SUDAH berlalu fasa pertama Ramadan al-Mubarak yang dipenuhi dengan kerahmatan. Hari ini kita sudah berada di fasa kedua yang dilimpahi dengan keampunan daripada Allah SWT dan fasa ketiga adalah kemerdekaan, pembebasan dari api neraka.

Sepanjang berada di madrasah Ramadan tahun ini saya menekuni catatan sirah dengan membuka safhah demi safhah sirah Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat. Saya cukup tertarik dengan Ghazwah Uhud, boleh dijadikan sebagai pedoman perjuangan UMNO di saat ketewasan kita pada PRU ke-14 yang lalu.

Ghazwah Uhud berlaku pada Syawal tahun ketiga hijrah (625 M), disertai 1,000 orang tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW, tetapi hanya 700 orang sahaja yang berjaya sampai ke medan Uhud. Seramai 300 orang telah berpatah balik ke Madinah setelah dihasut oleh Abdullah bin Ubai. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb.

Tentera Islam yang syahid dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang. Bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib syahid dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi. Rasulullah SAW berasa amat sedih dan memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang mereka pakai ketika berperang. Inilah kali pertama tentera Islam tewas dalam peperangan setelah diberikan kemenangan besar dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

Pedoman yang cukup berharga untuk kita kaji dan fahami di sebalik ketewasan tentera Islam di medan Uhud antaranya:

Kepatuhan kepada arahan pemimpin. Ghazwah Uhud menyaksikan tentera pemanah mengingkari arahan Rasulullah SAW agar tidak berganjak dari kedudukan mereka walau apapun yang terjadi. Tentera musyrik berjaya menukar kekalahan mereka pada permulaan pertempuran kepada kemenangan kerana keingkaran tersebut. Demikianlah kesannya melanggar perintah pemimpin hingga boleh melenyapkan peluang dan memberi kemenangan kepada musuh.

Saya tertarik dengan pandangan Presiden PAS ketika ditemu bual oleh wartawan mengenai Muktamar PAS 2019 katanya:

“Seruan saya juga bila kita berada dalam parti, bermakna kita berjemaah, kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur, selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat Jemaah”

Dalam perjuangan kita perlu sedar, ada perkara dasar yang kita tidak boleh pertikaikan, seperti asas perjuangan dan akidah. Manakala perkara furu’ (cabang) bolehlah diperdebatkan dan dibincangkan tetapi jangan sampai mewujudkan perpecahan dan perbalahan. Sejak diamanahkan menerajui kepimpinan UMNO, saya sentiasa menjadikan Perlembagaan UMNO sebagai rujukan dalam menyelesaikan kemelut parti dan sebarang keputusan diambil secara konsensus.

Menyusun dan mengatur strategi asas kemenangan. Kehebatan dan kepantasan Rasulullah SAW sebagai strategis mengatur taktikal dalam peperangan memberi gambaran jelas bahawa tugas sebagai Rasul bukan hanya tertakluk kepada menyampaikan dakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pentadbiran, pemerintahan malah peperangan.

Nikmat kemenangan telah kita nikmati dan rasai sejak PRU Pertama sehingga PRU ke-13. Janganlah hanya dengan hilangnya kuasa dan pemerintahan telah melemahkan kita untuk meneruskan perjuangan yang suci ini. Kita jadikan semangat yang Allah SWT tiupkan kepada pejuang di Uhud sebagai landasan menyusun dan mengatur strategi perjuangan, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak)…”
(Surah al-Nisa’: 104)

Peranan wanita jangan diperkecilkan. Dalam peperangan Uhud keteguhan Nasibah, Ummu ‘Amarah bersama suami dan anak-anaknya untuk terus tetap berdiri mengelilingi Rasulullah SAW ketika pertahanan tentera Islam bolos, menjadi salah satu bukti penglibatan besar wanita Islam dalam perjuangan dakwah Islam.

UMNO dari semenjak penubuhannya sentiasa meletakkan wanita sebagai benteng utuh perjuangan. Peranan wanita UMNO sentiasa diperkasakan bukan hanya sebagai mata dan telinga UMNO bagi menyelesaikan masalah setempat sahaja, malah mampu menjadi orang yang paling lantang memperjuangkan agenda ummah. Begitu juga Pemuda dan Puteri sebagai sayap yang sentiasa seiring mendokong wadah perjuangan wanita.

Ujian dalam perjuangan. Di Uhud Rasulullah SAW sendiri telah cedera, ia sememangnya memberi peransang kepada pejuang Islam agar bersabar menghadapi segala cabaran yang menimpa. Sama ada ujian berbentuk fitnah, tuduhan, kesakitan tubuh badan, sekatan kebebasan perjalanan, ditangkap atau dipenjarakan mahupun dihukum mati atau dibunuh. Allah SWT telah berfirman maksudnya:

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNYA tentang orang-orang yang berdusta.”
(Surah al-Ankabut: 1-3)

Bukan pejuang jika tidak pernah diuji. Hari ini pimpinan UMNO diuji dengan pelbagai, tohmahan, pra-sangka negatif dan pendakwaan. Inilah harga sebuah perjuangan yang perlu dibayar oleh setiap pejuang UMNO. Doakan semoga kami mampu mengharungi ujian dalam perjuangan ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran.

Ini hanyalah secebis daripada ibrah Ghazwah Uhud untuk kita renungi dan teladani. Ambillah peluang di fasa kedua madrasah Ramadan kali ini sebagai ruang untuk memohon keampunan daripada Allah atas segala kekhilafan yang lalu.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.