Setahun Pentadbiran Pakatan Harapan, Bermulanya Dekad Malap


TARIKH 9 Mei 2018 pasti akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia, apabila rakyat memilih untuk membuat perubahan sebuah kerajaan. Menukar sebuah kerajaan yang stabil dan cemerlang dari segi pentadbiran dan pembangunan yang dibawa selama ini, kepada sebuah kerajaan yang sarat dengan harapan. Malah, negeri Johor juga antara negeri yang tidak terkecuali memilih untuk dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Selepas setahun menggapai harapan, wajar dan layak untuk kita bertanya. Adakah harapan yang ditabur-tabur sebelum ini sudah kesampaian. Atau harapan tinggal harapan? Negeri Johor sudah pastinya mempunyai pengalaman, dan pengajaran, yang tersendiri daripada semua ini. Biar dalam konteks dan sudut mana pun yang kita lihat, nampaknya, kita semua sudah menjadi mangsa harapan yang tidak kesampaian.

Satu perubahan ketara di Johor adalah kelemahan pentadbiran kerajaan negeri. Bermula dengan sebuah pasukan Menteri Besar yang buntu dan keliru, Johor melakar sejarah menjadi negeri sulung pasca PRU14 yang menyaksikan pertukaran Menteri Besarnya dalam tempoh tidak sampai setahun. Kesemuanya kerana kegagalan membuat kerja dengan baik dan kekecewaan rakyat yang memuncak.

5 Petunjuk Kegagalan

Kini, Johor dikemudi pula oleh Menteri Besar yang mempunyai cabaran mendapat keyakinan dan penyatuan dari pasukannya sendiri. Langkah Menteri Besar mengumumkan mempunyai pasukan sendiri mendedahkan kepada rakyat bahawa tiada kesepakatan antara pemimpin dalam Bersatu. Semua ini gambaran wujud pergelutan dalaman mereka, sehingga timbul team yang berbeza-beza. Lebih bercelaru apabila Menteri Besar yang baharu tidak dilantik menjadi Pengerusi Bersatu Negeri. Sebaliknya dipimpin oleh pemimpin lain. Ia satu isyarat bahawa Menteri Besar tidak mendapat kepercayaan penuh daripada Putrajaya.

Namun, semua ini tidak akan dijadikan ukuran untuk mengukur penilaian dan prestasi beliau. Jadi, saya ingin merujuk kepada perkara-perkara berikut agar lebih objektif dan adil.

Pertama, pelan dan strategi ekonomi. Kerajaan Negeri Johor ada mengumumkan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030. Cuma, setelah meneliti pelan tersebut, kalau pun boleh dianggap sebagai pelan, kita masih tercari-cari apakah lonjakan yang diberikan PH dalam hal ini? Selain menjenamakan semula inisiatif lepas, tidak wujud satu naratif ekonomi baharu yang ditawarkan. Sedangkan pelan ini dikatakan sebagai pelan jangka masa panjang. Tetapi tidak pula ada perkara-perkara seperti ‘Tindakan Segera’, ‘Inisiatif 5 Tahun Pertama’ dan ‘Lonjakan Terakhir’ yang akan melengkapkan keseluruhan proses. Tidak ada.

Kedua, prestasi dan kedudukan kewangan GLC Johor. Saya yakin, kita pasti ingin tahu. Apakah kedudukan kewangan dan prestasi semasa GLC-GLC Johor? Perkara ini sangat kritikal dan relevan kerana, Pengerusi dan penentu hala tuju utama GLC negeri adalah Menteri Besar. Jadi, prestasi GLC Johor sangat dipengaruhi oleh keupayaan mengemudi pemimpin negeri.

Ketiga, pelan pengangkutan awam dan infrastruktur. Tidak ada perkembangan yang memberangsangkan seperti Projek RTS Johor Bahru – Singapura. Manakala Projek HSR Kuala Lumpur – Singapura pula sudah boleh kita lupakan. Kesemua ini meninggalkan kita dengan persoalan yang merunsingkan. Adakah tambak Johor akan kekal menjadi laluan sempit, sesak dan menyusahkan semua hanya kerana ego pemerintah yang tidak mahu berlapang dada?

Keempat, perumahan dan kemudahan kebajikan asas. Skim air percuma dan kad kesihatan Johor adalah perkara yang masih tidak dilaksanakan dengan baik. Bukan sahaja kuantiti air percuma dikurangkan kepada penerima yang layak. Tetapi, gangguan demi gangguan terus berlaku sehingga air Johor terpaksa dicatu berkali-kali biarpun tarif air Johor kekal sebagai antara yang termahal di Malaysia.

Dalam konteks perumahan, ia lebih merisaukan. Sehingga kini, kita belum dengar apa perkembangan dan strategi untuk menjayakan sasaran membina 100 ribu unit rumah mampu milik bermula 2018. Jangan sampai rumah mampu milik, jadi sekadar rumah mampu umum.

Sebenarnya kita pun tidak tahu sudah berapa unit rumah mampu milik yang siap selepas setahun PH mentadbir Johor. Kalau ikut sifir mudah, sekiranya belum sebiji pun siap, ini bermakna dalam tempoh 4 tahun mendatang, Kerajaan Negeri Johor mesti membina kira-kira 25 ribu biji rumah mampu milik setahun. Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya 2083 buah rumah mampu milik mesti dibina dan disiapkan setiap bulan. Besar bukan janji mereka? Maka besar lagi harapan rakyat. Kita tunggu sahajalah.

Kelima, agenda Melayu dan Bumiputera Johor. Sehingga kini, Kerajaan Negeri Johor masih belum mengemukakan sebarang pendirian mahupun pelan terperinci untuk orang Melayu dan Bumiputera. Polisi menggalakkan Orang Melayu tinggal di bandar dan pelan pembangunan Kota Melayu Larkin yang disusun sebelum ini telah diketepikan oleh PH sepenuhnya. Sedangkan, jika mengikut pelan tersebut, Larkin akan menjadi kota dan pusat bandar baharu kepada orang Melayu di Johor. Semua ini akan membuka lebih banyak ruang kepada orang Melayu dan Bumiputera. Terutamanya dalam menjadi pengimbang kepada projek Forest City.

Yang pasti, dengan agenda khusus Bumiputera sudah tentunya akan mengembalikan Johor sebagai negeri yang berorientasikan khidmat bakti kepada masyarakat. Tidak seperti sekarang. Jawatan ketua kampung pun dipolitikkan dengan melantik mereka yang tidak dikenali oleh penduduk tempatan. Malah, program menyantuni masyarakat setempat juga dilihat semakin susut dan berkurangan.
Jadi, apa lagi yang tinggal kepada orang-orang kampung?

Cabaran Besar Kerajaan Negeri Johor

Saya gesa Kerajaan Negeri Johor khususnya Menteri Besar memberi penjelasan berhubung 5 perkara yang saya sebutkan di atas.
Malah, adalah lebih baik jika Menteri Besar nyatakan juga laporan suku pertama kemasukan pelaburan negeri Johor. Agar kita dapat mengetahui kedudukan semasa dan dapat membandingkannya dengan keadaan sebelum ini. Lebih-lebih lagi kini Bursa Malaysia adalah pasaran saham besar tercorot di dunia. Jadi, apa impaknya kepada Johor dan persediaan kita menguruskannya?
Terangkan juga kepada rakyat apakah pelan percambahan peluang pekerjaan berprofil tinggi dan berkualiti kepada orang Muda Johor dalam masa 5 tahun ini, serta berapa banyakkah kadar pengangguran yang telah berjaya dikurangkan dalam tempoh suku pertama (Q1) 2019?

Dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Johor bagi membantu Bangsa Johor dalam berhadapan dengan kesan manifesto yang tidak dilaksanakan oleh peringkat Pusat, seperti pembayaran PTPTN yang diwajibkan kepada mereka yang bergaji serendah RM1050 serta penghapusan hutang FELDA yang tidak pun dilakukan?

Akhir sekali, saya berharap Menteri Besar Johor serius dan mengambil perhatian setiap teguran yang dinyatakan demi kebaikan rakyat dan negeri ini. Johor pada suatu ketika telah memulakan langkah untuk memasuki era Dekad Baharu Johor. Suatu era di mana, negeri ini akan dibangunkan menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun akan datang. Maka janganlah disia-siakan setiap impian dan cita- cita setiap rakyat negeri ini. Tindakan tidak proaktif, membisu dan berdiam diri hanya akan membawa Johor ke suatu fasa yang tidak diinginkan oleh sesiapa iaitu Dekad Malap Johor.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.