Dinamika Politik Muafakat BN, UEC Dan Dilema Kepentingan Nasional


PERIKATAN adalah kerjasama politik yang pertama wujud dalam sejarah panjang negara ini. Salah satu perkara yang menjadikan Perikatan sebuah kerjasama politik yang ampuh ialah kekuatannya berpegang kepada prinsip.

Misalnya, musyawarah dalam membuat apa jua keputusan dan persetujuan bahawa ada perkara-perkara yang tidak akan dapat dituruti sepenuhnya oleh semua pihak. Maknanya, dalam hal berkaitan isu dan dasar tertentu, parti politik di bawah Perikatan bersetuju, dan sangat faham, bahawa akan ada perkara yang tidak boleh diselesaikan secara konsensus. Tetapi, rasa hormat dan toleransi akan terus memimpin Perikatan.

Prinsip ini juga merupakan tunggak kepada Barisan Nasional (BN), apabila ianya dibentuk. Sebuah pakatan politik yang sudah terbukti berjaya mengemudi Malaysia yang stabil dan makmur ekonominya. Hasil daripada berpegang teguh kepada ‘politics of consensus’ inilah, meskipun menyedari tidak semua masalah itu boleh diselesaikan, Barisan Nasional cuba menawarkan solusi demi solusi yang realistik untuk menangani permasalahan yang wujud.

Ditambah lagi dengan rasa hormat dan terhutang budi sesama pemimpin di dalam Barisan Nasional, ia menjadikan pakatan politik ini lebih matang, ampuh serta tidak kebudak-budakan dalam menguruskan perbezaan.

Dalam hal-hal berkaitan sekolah Cina misalnya. Walau apa pun alasan dan sentimen untuk menentangnya, sekolah jenis kebangsaan Cina akan terus wujud, beroperasi dan berfungsi. Apa jua desakan untuk memastikan hanya ada satu sistem persekolahan nasional tidak akan dapat menggugat kedudukan sekolah aliran Cina.

MCA dan parti komponen yang mewakili masyarakat minoriti tidak akan sesekali berkompromi dalam hal berkaitan masa depan sekolah Cina. Bagi masyarakat Cina, sekolah vernakular adalah identiti mereka. BN memahami dan menghormati perkara ini.

Namun, isu UEC adalah berbeza. Sudah pastilah isu pengiktirafannya telah dibincangkan antara parti komponen BN. Dan semua tahu tentang pendirian UMNO dalam perkara ini. Ia tidak akan diiktiraf bukan kerana sukatan pelajaran atau kualiti graduannya tidak baik.

Tetapi, kami mahu mendukung dan memelihara keutuhan sistem pendidikan nasional. Pendidikan adalah perkara yang sangat penting dalam pembentukan sebuah negara. Kerajaan BN sebelum ini berpendirian bahawa Malaysia mesti mempunyai hanya satu sistem pendidikan nasional yang menjadi asas kepada semua.

Dengan mengiktiraf UEC, ia adalah langkah yang akan secara beransur-ansur membawa kepada ‘a dual education system’. Dan ini bukanlah sesuatu yang sihat dalam menyuburkan integrasi nasional.

Namun demikian, dalam BN, setiap sesuatu pasti ada kompromi dan timbal balasnya. Walaupun UEC tidak diiktiraf, Kerajaan BN memberikan timbal balik dalam bentuk lain, malah dengan cara yang lebih besar dan penting. Antaranya ialah memberikan taraf universiti penuh kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (kini UTAR) dan membenarkan penubuhan beberapa Universiti yang didukung oleh masyarakat Cina termasuklah Universiti Wawasan, Southern University Collage dan University College New Era.

Kerajaan BN juga terus membantu sekolah Cina dengan memberikan peruntukan demi peruntukan yang semakin bertambah saban tahun. Dan kalau dalam konteks semasa, sekolah persendirian Cina juga nampaknya sudah menerima bantuan dan peruntukan dana daripada Kerajaan.

Semua ini menggambarkan betapa dinamiknya politik muafakat atau ‘politics of consensus’ antara parti-parti komponen BN. Walaupun ada kalanya konsesi yang diberikan itu tidak sama bentuk dan nilainya dengan pengiktirafan UEC. Tetapi, ia tidak pernah menjadi ‘a zero sum game’. Sebaliknya, ia adalah keputusan strategik yang bertujuan mengangkat keutamaan pertimbangan lain yang lebih mustahak dan relevan seperti integrasi nasional.

Satu perkara yang sangat nyata ialah, negara yang majmuk tidak boleh bersatu padu dan dibangunkan dengan citra yang menjurus kepada pemisahan kelompok tertentu natijah sistem pendidikan yang terpisah-pisah. Ia sama sekali tidak membantu kepada kesatuan dan kesepaduan nasional.

Justeru, telah sampai masanya Kerajaan memikirkan jalan bagaimana sistem pendidikan kita, walau apa pun bentuk penyampaian dan orientasinya, mestilah bersandarkan kepada falsafah pendidikan kebangsaan.

Kita tidak lagi boleh membiarkan pendidikan vernakular terpisah dan tersasar dari falsafah pendidikan nasional. Sekolah Cina yang beroperasi di Malaysia, mesti menjadi bahagian dalam sistem yang bersepadu dan mendukung falsafah pendidikan nasional. Sekalipun wujud perbezaan pendekatan pedagogi, bahasa dan sukatan pelajaran. Tetapi dasar sistem tersebut mestilah bertunjangkan aspirasi falsafah pendidikan kebangsaan.

Begitu juga dengan sekolah agama rakyat. Ribuan sekolah tahfiz dan sekolah agama persendirian. Semuanya mesti dibangun dan dimajukan berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan. Bukan lagi wujud dan hidup dalam dunia sendiri yang terpisah dari pendidikan arus perdana.

Hanya dengan pendekatan sebegini, Malaysia akan mempunyai sistem pendidikan yang benar-benar bercitra nasional.

Kepada semua kumpulan pendesak agar UEC diiktiraf, anda jangan hanya memberikan cerita anda. Kerajaan sangat tahu tentang cerita kalian berkaitan UEC. Tetapi, bukalah minda dan hati untuk turut meneliti alasan kerajaan dalam perkara ini. Fahami kedudukan Kerajaan dan kekangan serta cabaran yang Kerajaan hadapi.

Saya adalah seorang yang sangat percaya kepada kepelbagaian dalam menyampaikan pendidikan. Tetapi saya juga menghargai betapa sukarnya untuk Kerajaan membenarkan UEC sebagai kelayakan kemasukan IPTA.

Ia sama sekali tidak mempunyai unsur dan nilai pendidikan kebangsaan. Ia dilaksanakan bukan dalam Bahasa ibunda negara kita. Ia dilaksanakan dan dikawal selia oleh pergerakan bukan Kerajaan yang berpandukan sistem nilai, falsafah dan hala tuju negara luar. Segala-galanya sangat asing dengan cerita Malaysia sebagai sebuah negara dan sebuah bangsa.

Bukankah akan tercalar wibawa Kerajaan jika ia sendiri berkompromi dalam mendukung sistem yang dibangunkan dan dimajukan bukan demi kepentingan Malaysia secara keseluruhan? Malah, pengiktirafan UEC akan menjadi satu mesej moral yang sangat songsang kepada masyarakat. Tindakan sedemikian bersalahan dan bercanggah dengan usaha mewujudkan kesepakatan dan perpaduan yang dipasak dengan falsafah pendidikan yang satu.

Sesungguhnya tulisan ini bukanlah untuk bercakap bagi pihak Kerajaan mahupun Pakatan Harapan. Ia adalah sebagai peringatan dan teguran ikhlas untuk mereka agar tidak berputus asa, berprinsip dan teguh atas pendirian, meskipun diasak dari pelbagai penjuru. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu yang berkepentingan umum dan mustahak bagi pembinaan sebuah negara bangsa.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.