Lebih 10 Bulan Kerajaan PH Masih Takut Lantik PAC DUN Perak Dari Pembangkang – Saarani


KUALA LUMPUR, 15 April – Pakatan Harapan (PH) perlu menjadi kerajaan yang sebenar dan bukan kerajaan yang mempunyai sifat-sifat pembangkang serta pembalas dendam, bidas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, salah satu daripada puluhan janji-janji manis PH dalam PRU14 yang lepas adalah untuk membuat pembaharuan dalam sistem kerajaan, malah dalam manifesto mereka di bawah isu Amanah dan Integriti berjanji mahu mewujudkan institusi DUN yang berintegriti.

“Antara ‘reformasi’ yang digembar-gemburkan oleh PH ialah melantik wakil rakyat Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (PAC). Perkara ini telah pun dilaksanakan di Parlimen. Malangnya, ia masih belum dilaksanakan di DUN Perak, walaupun ia telah dilaksanakan di Dewan Rakyat.

“Malangnya, di Perak, setelah lebih 10 bulan menjadi kerajaan, langkah ini masih belum dilaksanakan. Tanda-tanda untuk melaksanakannya juga tidak ada, seperti juga puluhan janji-janji pilihan raya PH,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pelbagai alasan diberikan termasuk oleh Speaker Datuk Ngeh Koo Ham yang menyatakan kononnya tidak dapat diserahkan jawatan kepada pihak pembangkang kerana mahu membongkar segala ‘salah laku kerajaan terdahulu’.

“Jika ini adalah alasannya ia amat mendukacitakan kerana ia mengandungi perasaan untuk membalas dendam dan ‘witch-hunting’. Hatta di peringkat Dewan Rakyat yang dikuasai oleh PH pun tidak menggunakan alasan seperti yang dinyatakan oleh YB Datuk Ngeh.

“Malah yang amat mendukacitakan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) kedua-duanya datang daripada Dap.”

Katanya, alasan yang diberikan ini adalah alasan yang daif dan tidak boleh diterima pakai.

“Kerajaan Negeri PH mesti mentadbir negeri demi kesejahteraan rakyat, bukan menoleh ke belakang merekacipta kesalahan bagi menjadikan alasan untuk tidak menunaikan janji.”

Ujarnya beliau yang juga ADUN Kota Tampan, integriti Dewan perlu dipertahankan dan tidak dijadikan sebagai pentas mencipta persepsi atau membuat tuduhan sewenang-wenangnya dengan berselindung di sebalik imuniti sebagai seorang wakil rakyat.

“Yang menjadi persoalan kenapa gentar melantik Adun Pembangkang sebagai Pengerusi PAC jika PH benar-benar mahu menunaikan janji manifesto mereka?

“Sekali lagi saya tekankan supaya PH belajar menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan bermentaliti pembangkang yang mencari kesalahan sebagai satu alasan untuk memungkiri janji pilihan raya mereka.”

Malah katanya di Dewan Rakyat, apabila YB Beluran Datuk Seri Ronald Kindee membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM, jawatan beliau sebagai Pengerusi PAC telah digantikan oleh YB Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.