PH Hilang Wibawa, Kegagalan Memperoleh Undi Dua Pertiga Memalukan Kerajaan – Khaled


KUALA LUMPUR, 10 April – Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperoleh undi dua pertiga bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara kepada Persekutuan Malaya seperti dalam Perjanjian pembentukan Malaysia 1963 adalah sangat memalukan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, keputusan sedemikian memberi tamparan hebat kepada Kerajaan semasa.

Pertama, ia mendedahkan kepada masyarakat kegagalan Kerajaan mengadakan proses rujukan atau rundingan yang jelas, teratur dan mencukupi sebelum usul itu dicadangkan. Ini termasuklah tidak merujuk kepada Select Committee Parlimen berhubung perkara tersebut.”

Sebaliknya, katanya, usul ini di buat secara sangat tergesa-gesa serta melulu kerana sudah menjadi norma dan kelaziman Kerajaan PH untuk melaksanakan sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif.

Kedua, kegagalan mendapat undian dua pertiga ini juga boleh di tafsir sebagai satu undi tidak percaya kepada Kerajaan semasa. Adalah sangat jarang untuk sesuatu usul pindaan Perlembagaan gagal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini ialah untuk tidak membawa apa jua pindaan jika ia tidak yakin akan mendapat jumlah undi yang mencukupi terutamanya yang melibatkan pindaan Perlembagaan.

“Nyata Kerajaan PH telah hilang wibawa dan terus mengalami kesusutan kepercayaan yang signifikan.”

Ketiga, katanya, keputusan Parlimen semalam menunjukkan wakil rakyat enggan mengambil risiko membenarkan Kerajaan melakukan sesuatu yang sangat kritikal dan penting kepada negara dalam saat kedudukan Kerajaan adalah sangat rapuh dan keliru.

Keempat, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membincangkan status Sabah dan Sarawak adalah antara tawaran utama dalam manifesto PH. Namun apa yang diusulkan tidak lebih dari bersifat kosmetik dan luaran semata-mata. Ia jauh tersasar dari mengiktiraf aspirasi sebenar rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

“Kegagalan Kerajaan mendapatkan mandat melaksanakan pindaan yang menepati aspirasi sebenar dan kesetaraan yang selayaknya untuk Sabah dan Sarawak menuntut pertanggungjawaban dari Kabinet.

“Menteri yang bertanggungjawab harus mengambil langkah bermaruah untuk meletakkan jawatan atas episod yang sangat memalukan ini,” katanya lagi.
Semalam, dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat, usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi. Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti ; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.