Isytihar Harta? Saifuddin… Sila Semak SPRM Dan SUK Negeri Sembilan, Bidas Tok Mat


REMBAU, 2 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada keperluan baginya sekarang untuk mengisytiharkan harta.

Mohamad memberi reaksi demikian ketika ditanya berhubung gesaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berceramah malam tadi di Bandar Ekar, di sini agar Mohamad mengisytiharkan harta seperti yang dilakukan oleh Menteri Besar (MB) kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon mereka Dr S Streram.

Jelasnya, beliau kini bukan lagi penjawat awam seperti dahulu menjadi MB Negeri Sembilan yang perlu mengisytiharkan harta.

“Saya setiap penggal mengisytiharkan harta dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pergilah periksa.

“Dia (Saifuddin) tidak tahu sebab saya setiap tahun kena isytihar harta semasa saya menjadi MB dulu… sekarang saya tidak jadi MB, tak pegang jawatan (dalam kerajaan) tak perlulah saya isytiharkan harta.

“Lagi pun harta saya makin lama makin susut, saya terpaksa jual rumah, kereta, tanah untuk mengurangkan komitmen kerana tidak ada pendapatan, cuma pencen dan elaun wakil rakyat sahaja,” ujarnya lagi dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini, hari ini.

Bahkan katanya, pengisytiharan harta memang sudah menjadi amalan beliau dan anggota pentadbirannya dahulu dan terkini bagi tahun akhir 2017, yang diisytihar awal 2018.

“Tiada keperluan (untuk saya umum), kalau nak tengok pergi SPRM. Di SPRM ada dan ada satu salinan di (pejabat) Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Itu (isytihar harta) memang setiap wakil rakyat kita daripada dulu lagi telah pun dimestikan untuk mengisytiharkan harta. Pengisytiharan harta ini bukan perkara baru, ini dah lama dibuat sejak zaman BN.

“Kita telah mewajibkan wakil-wakil rakyat, Exco-exco, MB dan juga pegawai-pegawai turus di dalam kerajaan negeri untuk mengisytiharkan harta masing-masing,” tambahnya.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan turut berpandangan tiada hubung kait PRK ini dengan pengisytiharan harta kerana tanpa melibatkan penjawat awam.

“Saya tidak nampak relevannya pengisytiharan harta dengan pilihan raya kecil ini, apakah niat sebenar yang mereka mahukan.

“Kerana bagi pihak sebelah sana memang perlu sebab mereka sudah menjadi sebagai penjawat macam Saifuddin (Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna) dia kena isytihar harta dia.

“Dr Streram nak isytihar harta dia, ok la.. tapi untuk apa… tiada apa-apa keperluan pun,” katanya lagi.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan BN, PH dan dua calon daripada Bebas. BN mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan, begitu juga PH yang turut menampilkan calon sama sebelum ini, S Streram dan calon Bebas pula R Malar dan Mohd Nor Yasin.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO