Dah Jadi Kerajaan Tapi PH Masih Tak Keluar Dari Kepompong Tuding Jari, Manipulasi Dan Spekulasi


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Biarpun Pakatan Harapan (PH) Sudah membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu namun mereka masih gagal keluar dari kepompong sikap pembangkang dahulu iaitu dengan melakukan tohmahan, manipulasi fakta dan lakukan spekulasi.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid sebenarnya mereka (PH) juga dalam keadaan tidak yakin dengan kerajaan mereka sendiri lantaran ia terbina hasil memenangi PRU dengan segala tohmahan dan spekulasi yang mereka lakukan berpuluh tahun.

“Tentunya untuk mereka keluar dari kepompong itu bukanlah sesuatu yang mudah dan sudah menjadi kebiasaan kepada mereka menyalahkan Barisan Nasional (BN) berbanding barisan pembangkang hari ini yang diwakili oleh bekas-bekas menteri dan timbalan menteri, maka tentunya tahu apa-apa saja yang berlaku dalam negara dan tak mungkin kerajaan hari ini dapat sembunyikan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ‘Diskusi dari Parlimen’ dengan mengupas isu-isu semasa yang dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid. Diskusi ini disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Ujarnya, ketika PH menjadi pembangkang mereka telah ‘spin’ banyak perkara terutamanya soal ketelusan dan kebenaran namun ianya tidak mereka lakukan hari ini setelah menjadi kerajaan.

“Dulu mereka ‘spin’ dan sekarang pun mereka dah jadi kerajaan masih ‘spin’. Mereka lakukan apa-apa keputusan tanpa melihat kepada kepentingan rakyat misalnya menteri melantik CEO yang jaga Tabung Haji tanpa memikirkan sensitiviti orang Islam.

“… tetapi mereka sengaja… mereka mahu melihat dulu bagaimana reaksi rakyat dan macam mana untuk ‘spin’ semula supaya mereka dianggap walaupun bukan Islam namun buat semua kebaikan untuk orang Islam.

“Mereka boleh mengelirukan fakta… mungkin dalam situasi untuk beralih membela diri sendiri maka mereka ada asas pengetahuan yang lain sebagai alasan yang akan mengelirukan orang ramai.”

Inilah dia kerajaan PH, tegas beliau lagi.

“Soal keutamaan tidak ada dalam agenda mereka. Mereka suka mensensasi, suka tegakkan benang yang basah walaupun tiada sebab tapi sudah biasa… sudah lama dalam kepompong itu.

“Patutnya mereka mesti hentikan sikap demikian demi rakyat. Mereka perlu membuat agenda rakyat sebagai keutamaan.”
Terang beliau, persepsi adalah segala-galanya yang dulu digunakan oleh PH untuk menumbangkan BN namun hari ini apabila mereka menjadi kerajaan rakyat pula meletakkan pelbagai persepsi terhadap kerajaan hari ini tanpa barisan pembangkang minta.

“Rakyat hari ini sangat peka, kerana dulu pembangkang yang melakukan sedemikian terhadap kerajaan maka hari ini rakyat telah terdidik dengan mempunyai data-data dan maklumat itu sendiri.”

Dalam masa yang sama ,beliau turut menyentuh soal ketidakadilan dalam sidang Parlimen antara barisan kerajaan dan pembangkang.

“Ia adalah antara yang saya rasa sangat memeritkan misalnya apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar disuruh keluar dari Dewan sedangkan beliau hanya bertanya yang meminta penjelasan dari Timbalan Speaker, YB Ngar Kor Ming. Saya rasa hujah-hujah Tanjong Karang sangat bernas tapi tidak diberikan jawapan. Sangat bertentangan dengan norma-norma keadilan.”

Bidasnya, sekarang makna ‘Rule of Law’ di bawah PH telah membawa dimensi berbeza sedangkan sewaktu mereka menjadi pembangkang seolah-oleh mereka sangat memperjuangkannya.

“Apa yang dilihat hari ini semuanya ada agenda terpilih, ada pendakwaan yang sangat lambat, ada yang sangat cepat, ada yang digugur begitu saja. Contoh macam kes pendakwaan terowong.

“Bila kita tanya, selalunya menteri tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, mereka akan menimbulkan satu fakta baru… cuba melihat kepada macam-macam perkara… kaitkan sana sini sedangkan yang berdiri di Dewan itu adalah mewakili rakyat.

“Kalau mereka terus melakukan sedemikian maka adalah sesuatu yang tidak baik untuk mereka.”

Dalam hal yang lain, beliau turut mengingatkan jentera UMNO dan BN untuk tidak leka yang bukan saja dengan menambahkan sokongan tetapi juga menambahkan pengundi.

“Kita boleh membuat ceramah-ceramah yang besar seluruh Malaysia di semua peringkat tapi untuk memastikan undi-undi yang memihak kepada BN harus dicari… mesti ada satu pasukan yang agresif untuk melakukan penambahan sokongan melibatkan pengundi-pengundi ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.