Pentadbiran PH: Hal-hal Mengelirukan Di Dewan Rakyat Amat Serius – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa hal-hal mengelirukan Dewan Rakyat amat-amat serius dengan pelbagai perkara gagal mendapat penjelasan yang baik dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perbahasan banyak menyentuh tentang kos sara hidup rakyat, isu-isu perhubungan kaum dan juga mengenai ekonomi negara yang masih belum pulih namun gagal mendapat penerangan sewajarnya dari pemimpin PH.

“Tetapi yang paling hebat dan panas kenyataan dari pihak mereka yang mencemburui dan takut terhadap perhubungan UMNO dan PAS lantas keluarlah kenyataan dari Lim Guan Eng dan Nga Khor Ming bahawa kononnya kita memerangi bukan Islam… kononnya apabila pemerintah wujud akan jadi macam Taliban di Afghanistan , semuanya itu mewarnai pada perbahasan sehingga Tan Sri Noh Omar dikeluarkan tiga hari daripada Dewan, dan amat kesal apa yang berlaku terhadap Tan Sri Noh,” katanya.

Tegasnya, Ahli Parlimen PH misalnya Jelutong, RSN Rayer gemar ‘bercakap dulu berfikir kemudian’ dan membuat tuduhan yang tidak betul .

“Contohnya Jelutong mengatakan tiada jalan raya, sekolah, klinik dan sebagainya di Pos Senderut Cameron Highlands yang kebetulan saya jaga Pos Senderut sewaktu PRK Cameron Highlands… ini adalah pembohongan yang sangat jelas dan nyata, dan saya kata google sahaja SK Pos Senderut pasti keluar.

“Beliau sendiri tidak minta maaf atas ketelanjuran beliau itu walaupun saya tidak menjatuhkan dia dalam hak dan kebebasan kerana kita tahu perangai dia macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi dari Parlimen bersama YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang mengupas isu-isu dari Parlimen, malam tadi. Diskusi ini telah disiarkan secara langsung melalui laman rasmi Facebook UMNO-Online.

Katanya, beliau telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhubung jawapan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat minggu lalu yang dianggap sangat serius.

“Ini perkara besar sebab sesi yang lepas Guan Eng menyebut Barisan Nasional (BN) merompak 19.4bilion duit pulang balik atau refund GST , apabila ditanya Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Rahman) betulkah ada rompakan… dia tidak menjawab dan dia tak nak sebut tentang rompakan itu….

“Oleh kerana itu saya bangun jika tidak ada lagi terminology yang sebegitu rupa , maka Guan Eng kena tarik balik menuduh BN merompak 19.4 bilion ringgit… itu bukan satu tuduhan kecil… itu tuduhan besar kemudian dalam sesi petang saya membangkitkan semula tentang perkara itu kepada Yang Di- Pertua Dewan dan Datuk Arif menyebut saya kena tulis surat bahawa apa yang dilakukan oleh Bagan itu melanggar peraturan 36/12 iaitu mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

“Pada hari khamis yang lepas saya telah menulis surat dan Yang Di-Pertua Dewan belum memberi penjelasan tentang itu, jadi hal-hal mengelirukan Dewan amat-amat serius , satu dunia boleh mendengar Lim Guan Eng dengan nada yang begitu bengis menuduh BN merompak, maksud rompak ini duit diambil dan dibahagi-bahagi.”

Walhal, tegasnya, 19.4 bilion masih ada dalam sistem wang yang disatukan, memang duit GST refund ini mesti ada dalam satu akaun refund yang mana ada satu peraturan Kementerian Kewangan berhak mengumpul segala wang yang diperolehi dari segala sumber cukai dalam wang disatukan.

“Apa yang dibuat pemerintah yang lepas termasuk wang disatukan bukannya satu kesalahan dan masih mengikut prosedur yang ada dan saya harap Yang Di-Pertua Dewan mengambil tindakan terhadap perkara ini dan ia bukan perkara kecil.”

Ahmad seterusnya menegaskan setakat yang dimaklumkan, pihaknya mendapati tidak ada wang yang ‘dirompak’ dan wang itu dimasukkan di dalam wang yang disatukan kerana tidak lagi menjadi kerajaan dan wang itu tidak sempat untuk dikembalikan.

Soalnya, YB Rembau (Khairy Jamaluddin) telah membuat laporan polis tentang perkara ini namun adakah mereka buat laporan polis?

“Ini satu perkara yang menakjubkan di Dewan Rakyat.” – MediaUMNO