Talibankah Malaysia Di Bawah UMNO-PAS?


Malaysia akan jadi negara Afganistan di bawah Taliban jika UMNO dan PAS memerintah negara? Ini satu retorik menarik dari mulut Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang turut dikongsi Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Howard Lee.

Di era lima tahun Taliban menguasai Afghanistan (1996-2001), wanita diwajibkan memakai burkha yang menutup semua kulit tubuh termasuk wajah, lelaki dewasa dikehendaki menyimpan janggut, budak perempuan berusia 10 tahun ke atas tidak dibenarkan ke sekolah dan hukuman potong tangan di kalayak ramai terhadap pencuri.

Taliban juga dituduh oleh Amerika Syarikat bersekongkol dengan Osama bin Laden menghantar bom pesawat bagi meranapkan World Trade Centre (WTC) di New York dalam tragedi 11 September 2001.

Pemerintahan Taliban begitu mengerikan. Rakyat Afghanistan hidup dalam ketakutan akibat diselubungi peperangan dan terperangkap dengan gerakan tentera militan.

Sebaik berlaku peristiwa 11 September, rakyat negara itu digegarkan dengan peluru berpandu dan serangan bertali arus dari tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sehingga membawa kejatuhan kerajaan Taliban. Ribuan rakyat Afghanistan terkorban. Menakutkan bukan?

Itulah ketakutan yang cuba ditanam dan disemai oleh Kor Ming dan sekutu-sekutu DAPnya terhadap rakyat, terutamanya di kalangan bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

Ideologi politik rasis melalui pendekatan menakut-nakutkan rakyat, terutamanya kaum Cina, terhadap pemerintahan Melayu-Islam di Malaysia sudah menjadi satu ketagihan buat DAP sejak turun temurun. Malah itulah senjata ampuh DAP yang membolehkan parti chauvinis berkenaan mendapat sokongan majoriti besar kaum Cina di negara ini.

Samalah dengan sikap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang baru-baru ini menghamburkan kenyataan bahawa kerjasama UMNO dan PAS merupakan satu pengisytiharan ‘perang’ terhadap orang bukan Melayu.

Niatnya untuk menimbulkan rasa ketakutan yang amat sangat di kalangan orang bukan Melayu terhadap perpaduan Melayu-Islam melalui pengisytiharan kerjasama UMNO dan PAS.

Dalam tempoh 62 tahun UMNO memerintah negara melalui komponen Parti Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN), pernahkah Kor Ming melihat semua wanita, termasuk bukan Melayu, memakai burkha sebagai pakaian yang diwajibkan oleh kerajaan ketika membeli belah di pasaraya seperti berlaku di Afghanistan ketika era Taliban?

Dalam era pertama PAS memerintah Kelantan selama 18 tahun (1959-1977), pernahkah Kor Ming melihat semua lelaki dewasa di negeri itu menyimpan janggut atas arahan kerajaan, termasuk lelaki bukan Melayu, sebagaimana Afganistan di era Taliban?

Dalam tempoh kedua PAS memerintah Kelantan selama 29 tahun sejak 1990 hingga kini, pernahkah Kor Ming mendengar semua perempuan berusia 10 tahun ke atas, termasuk bukan Melayu, dilarang ke sekolah atas arahan kerajaan seperti Afghanistan di bawah Taliban?

Dalam kedua-dua pemerintahan Kerajaan UMNO-BN dan PAS, pernahkah Kor Ming mendengar ada pencuri yang dipotong tangan di khalayak ramai sebagaimana kerajaan Taliban lakukan di Afghanistan?

Itulah gambaran ngeri kerajaan perpaduan UMNO-PAS yang cuba dicanangkan oleh Nga Kor Meng dan sekutu DAPnya terhadap bukan Melayu apabila mengaitkan Malaysia sebagai Afghanistan di bawah Taliban.

Hakikatnya UMNO dan PAS sentiasa bertoleransi terhadap bukan Melayu dalam pendekatan pentadbirannya selama ini. Tidak ada satu pun patung agama Buddha yang dimusnahkan, termasuk di Kelantan, sepertimana kerajaan Taliban memusnahkan dua patung Buddha yang dipahat di tebing Bamiyan pada Mac 2001.

Tidak ada satu sekolah aliran Cina atau Tamil di Malaysia yang ditutup di bawah pemerintahan UMNO-BN dan PAS, sedangkan sekolah seumpamanya bukan sahaja tidak pernah wujud di Afghanistan, malah di negara seluruh dunia termasuk Singapura, kecuali di Negara China dan India itu sendiri.

Malahan Bangunan Komtar di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir DAP sejak sekian lama, tetap berdiri megah, tidak seperti WTC di New York ranap ke bumi akibat bom pesawat dikatakan berpunca dari perancangan Osama bin Laden bersama kerajaan militan Taliban di Afghanistan.

Malaysia hanya pernah melalui tempoh huru hara ketika Parti Komunis Malaya (PKM) menguasai Tanah Melayu selama 14 hari sebaik tentera Jepun menyerah kalah pada 1948.

Menurut Wikipedia, komunis Bintang Tiga menerusi gerakan-gerakan gerilanya seperti MPAJA, pertubuhan Min Yuen, MRA dan lain-lain telah melancarkan beberapa siri keganasan, rusuhan dan pergaduhan kaum, terutamanya di bahagian Selatan Tanah Melayu. Baru 14 hari berkuasa, komunis Bintang Tiga telahpun menyebabkan ribuan jiwa terkorban.

Haru biru juga terjadi pada 1969 apabila DAP merasakan bahawa parti itu sudah menguasai sepenuhnya kerajaan Malaysia selepas Pilihanraya Umum pada tahun berkenaan, sehingga tercetusnya Peristiwa 13 Mei.

DAP sengaja berarak meraikan kemenangan ke Kampung Baru, Kuala Lumpur yang padat dengan orang Melayu dan menghamburkan kata-kata nista termasuk menghalau mereka pulang ke kampung kerana “ini KL Cina sudah punya”. Ramai jiwa terkorban akibat keangkuhan DAP.

Malaysia mungkin menjadi tanah Palestine yang diduduki rejim Israel sekiranya DAP menguasai sepenuhnya pentadbiran negara, sama seperti apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang.

Jangan hairan jika seluruh penempatan Melayu di Putrajaya dan Shah Alam diambil alih dan dikuasai begitu sahaja oleh puak-puak DAP, sama seperti yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap penempatan berdekad Palestine di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Malaysia tidak mungkin menjadi Afghanistan di bawah Taliban sekiranya UMNO-BN dan PAS berkuasa, tapi mungkin menjadi Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis di bawah Israel jika DAP membolot kuasa.

Sewajarnya rakyat tanpa mengira kaum dan agama mengisytiharkan perang terhadap politik rasis DAP, demi kesejahteraan sebuah negara majmuk bernama Malaysia. Elakkan Malaysia menjadi negara Yahudi di bawah DAP.

Khusairi Talib