Ada Mengaku Dirasuk Masuk Felda

Ada yang mengaku dirasuk syaitan tentang isu FELDA sehingga ugut untuk tampar.

Tetapi syaitan mana yang merasuk?

Syaitan mana yang hasut dengan pelbagai penipuan sehingga orang yang waras boleh dirasuk?

Mari kita buat sedikit siasatan.

Pertamanya, Kit Siang kata kerajaan BN beri pinjaman mudah kepada peneroka kerana BN mahu mengikat mereka kepada BN.

Jika di bawah Kit Siang, mungkin semua pinjaman-pinjaman mudah FELDA akan dimansuhkan.

Kedua. Dengan memetik pengalaman nenek dia, EXCO pemuda PPBM membuat tuduhan di dalam ceramah semalam bahawa niat kerajaan BN memberi pinjaman mudah ialah untuk menghalau mereka dan menggantikan mereka dengan orang asing apabila peneroka tidak dapat membayar hutang.

Satu kata BN mahu ikat peneroka. Yang satu lagi kata BN mahu halau.

Nampak, tak?

Saya memang kagum mengapa mereka mampu berbohong berterusan tanpa sebarang rasa bersalah.

Pemimpin-pemimpin PH termasuk yang dirasuk syaitan perlu faham sains biologi bahawa pokok sawit yang sudah tua tidak akan mengeluarkan buah yang mengandungi minyak.

Jika kita tidak menanam semula, lama-kelamaan tiada lagi hasil minyak dari pokok dan FELDA pun tidak akan wujud lagi.

Kos tanam semula juga tinggi dan kita perlu tunggu bertahun-tahun tanpa pendapatan sebelum hasil dari usaha ini boleh berbaloi.

Apabila saya menjadi PM, saya lihat usia pokok sudah berpuluh tahun setelah skim FELDA diterajui oleh Allahyarham Ayahanda saya.

Ini ialah kerana PM yang satu lagi sebelum saya lebih mementingkan industri kereta dan besi berbanding pertanian.

Oleh itu kadar pengeluaran minyak (yield) mula menurun. Jika tidak diselesaikan, FELDA tidak akan wujud lagi pada masa hadapan.

Itulah antara sebab utama FGV disenaraikan untuk mendapat dana bagi penanaman semula berskala besar dan untuk menjaga kebajikan peneroka.

Pinjaman kos faedah rendah yang diberi oleh FELDA kebanyakkan ialah untuk penanaman semula, pembesaran/pembinaan rumah peneroka dan pendidikan anak-anak mereka.

Untuk hutang penanaman semula, FELDA membayar bantuan sara hidup setiap bulan kepada peminjam semasa ladang mereka belum matang.

Apabila sudah matang, pembayaran balik ialah melalui potongan jualan dari hasil ladang itu.

Tidak ada seorang peneroka yang pernah dihalau keluar kerana tidak membayar hutang.

Jika saudara-saudari minat untuk mencari kebenaran mengenai hutang FELDA, boleh baca jawapan yang diberi oleh pihak FELDA di bawah kerajaan PH:
https://www.sinarharian.com.my/article/1901

FELDA juga mengesahkan bahawa masalah aliran tunai FELDA selepas PRU14 berpunca dari harga sawit rendah dan peminjam yang tidak membayar balik, mungkin kerana termakan janji kosong PH untuk menghapuskan hutang peneroka.

FELDA sendiri memang ada hutang RM8 bilion (berbanding aset FELDA RM21 bilion) tetapi kebanyakkan hutang ini dipinjam kembali kepada peneroka.

Tetapi apakah RM8 bilion ini jika dibandingkan dengan dana RM82 bilion yang dijarah kerajaan PH dari Petronas selepas PRU14.

Pada masa yang sama, kita perlu ingat bahawa kerajaan juga mengutip pelbagai cukai termasuk cukai eksport dari industri minyak sawit.

FELDA ialah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk menjaga peneroka, bukan syarikat swasta.

Tidak salah untuk kerajaan membantu agensi sendiri untuk membantu peneroka-peneroka.

Saya mengaku bersalah kerana telah cuba menyelesaikan masalah legasi FELDA serta memberi pelbagai pinjaman mudah dan bantuan kepada kroni-kroni, iaitu peneroka dan keluarga mereka supaya kehidupan mereka lebih baik.

Najib Razak

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.