Keputusan Speaker Berhubung Status MP Cameron Highlands Adalah Kemenangan Rakyat – Zahid


KUALA LUMPUR, 10 Dis – Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof adalah kemenangan rakyat, ujar Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian selepas Arif menarik kembali keputusannya sebelum ini yang tidak membenarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh untuk menghadiri sidang Parlimen selepas kemenenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum yang lalu dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya.

“Pembangkang mengalu-alukan keputusan Speaker yang telah merujuk kepada pakar undang-undang serta dari peguam kepada Ahli Parlimen Cameron serta keputusan bertulis oleh Hakim Mahkamah khas pilihan raya.

“Atas ketiga-tiga pendapat perundangan ini maka jelas apa juga alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk menafikan hak Ahli Parlimen Cameron untuk tidak duduk dalam Dewan adalah sesuatu yang menyedihkan dalam sistem Parlimen di negara ini.

“Sebab itu saya menyebut keputusan Spekar adalah satu keputusan yang memenangkan rakyat kerana rakyat telah memilih Ahli Parlimen Cameron begitu juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain,” ujar beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk, keputusan tersebut haruslah dijadikan panduan kepada semua agar tidak lagi terlalu mengikut emosi dalam membuat keputusan di masa akan datang.

“Sila rujuk kepada butiran dalam undang-undang negara ini sebelum buat keputusan,” tegas beliau.

Sebelum ini Speaker tidak membenarkan Ahli Parlimen Cameron untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat atas desakan Parlimen Jelutong, RSN Rayer berdasarkan alasan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan beliau dalam PRU-14 yang lalu atas dakwaan rasuah.

Pada 30 November lalu, mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU ke-14 bagi kerusi Cameron Highlands dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.