Cara Mudah PH Selesaikan Defisit, Tukar Istilah Tapi Maksud Sama… Jual Aset

KUALA LUMPUR, 10 Dis- Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak terharu dengan pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menjual aset-aset Tabung Haji (TH) sebagai jalan penyelesaian utama bagi agensi itu mengatasi masalah defisit.

Najib merujuk kepada pengumuman kerajaan PH bahawa aset TH akan dijual kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) pada nilai semasa, iaitu nilai yang sudah rendah selepas kejatuhan teruk Bursa Malaysia sejak pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan termasuk 150 hartanah milik TH di seluruh dunia.

“Secara tipikalnya, apabila SPV ambil alih aset-aset itu, mereka bebas untuk mencairkan atau menjual aset berkenaan.

“Saya harap akan ada pemantauan dibuat agar penjualan aset sedemikian dibuat dengan betul dan tiada mana-mana pihak tertentu mendapat manfaat daripadanya ekoran hubungan politik kerana ia akan mencetus pertikaian sebagaimana yang berlaku apabila Danaharta dan Danamodal ditubuhkan dahulu.

“Biarpun jika ada terlebih penilaian terhadap aset TH dan wujud kekurangan, tiada keperluan mendesak untuk SPV mengambilalih aset TH kerana kerajaan menjamin wang pendeposit. Aset-aset ini boleh ditinggalkan di TH sahaja untuk menunggu nilai aset pulih,” kata Najib dalam catatan di Facebooknya, hari ini, di sini.

Jelas Najib lagi, satu lagi cara mudah untuk kerajaan ialah menyuntik aset sama ada melalui tunai atau bukan tunai yang sama nilai dengan kekurangan yang didakwa itu.

“Dan apabila nilai aset itu pulih, TH boleh membayar semula kepada kerajaan,” ujarnya.

Tambah Najib lagi, mereka yang fasih tentang audit dan penilaian aset sudah tentu memahami bahawa ini bukanlah satu langkah yang baik.

“Adalah amat mudah untuk sesuatu aset dinilai rendah apatah lagi pada ketika pengurusan baru TH bersetuju dengannya. Bukan sukar untuk menilai sesuatu aset lima peratus lebih rendah ketika proses audit.

“Aset TH hari ini ialah RM73 bilion maka jika dinilai lima peratus lebih rendah sudah RM4 bilion,” tegasnya.

Merujuk kepada pengumuman yang dibuat melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf itu juga, jelas tiada dakwaan bahawa wang TH sudah dirompak ataupun diselewengkan tetapi TH di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melakukan tindakan yang kejam iaitu terlebih bayar dividen kepada pencarum-pencarum TH untuk empat tahun berturut-turut sejak tahun 2014, jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Najib turut hairan mengapa audit luar dan audit kerajaan tidak pernah menimbulkan isu pembayaran dividen dalam tempoh tersebut.

“Kerajaan PH telah mengumumkan bahawa Tabung Haji telah membuat kesalahan yang kejam iaitu telah terlebih bayar dividen kepada pencarum untuk empat tahun berturut-turut, tahun 2014, 2015, 2016 dan 2017.

“Mereka mendakwa, akibat membayar dividen berjumlah RM12.652 bilion kepada pencarum untuk empat tahun ini, Tabung Haji sudah kekurangan RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017.

“Seperti yang saya beritahu minggu lepas, masalah utama Tabung Haji ialah penurunan teruk nilai pelaburan-pelaburan mereka untuk tahun ini akibat kejatuhan Bursa Malaysia selepas PRU14,” ujarnya.

Pada minggu lalu, Najib menjangkakan kadar dividen pendeposit TH jauh lebih rendah dari tahun sebelumnya dengan merujuk laporan media yang mengatakan bahawa nilai pelaburan TH rugi sebanyak 20.5% akibat penurunan Bursa Saham Malaysia selepas PRU14 dan semakin menjunam disebabkan pelabur telah mengeluarkan dana mereka dari Bursa tersebut.

“Media juga melaporkan bahawa pegangan TH dalam 20 syarikat disenarai sahaja sudah rugi RM2.74 bilion. Banyak lagi pelaburan TH dalam syarikat-syarikat yang lain turut rugi tetapi tidak ada dalam pengiraan ini,” ujarnya.

Oleh itu, dividen TH untuk tahun in akan jauh lebih rendah berbanding tahun lepas dan cara yang paling sesuai untuk kerajaan PH ialah menyalahkan kerajaan terdahulu, sinis Najib. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.