Isu Tanah KTM Tanjong Pagar: PM4 Berjanji Tapi Ingkar, PM6 Berjanji Dan Negara Untung

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menangkis tuduhan beberapa pihak kononnya beliau yang bertanggungjawab menjual tanah hak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di Tanjong Pagar, Singapura.

Dalam hantaran di Facebooknya, Najib membentangkan panjang lebar fakta-fakta yang perlu rakyat fahami mengenai isu tersebut.

Jelas Najib, perjanjian asal untuk menghentikan stesen keretapi di Tanjong Pagar dan menukar tanah bukan dipersetujui olehnya tetapi dirunding dan ditandatangan oleh Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 1990.

“Di bawah perjanjian 1990 ini, Malaysia bersetuju untuk memindah stesen di Tanjong Pagar kepada stesen baru di Kranji – bukan saya yang bersetuju.

“Sebagai pampasan, Malaysia akan membangunkan tiga pakej tanah milik KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands di dalam syarikat JV (usaha sama) bersama dengan Singapura mengikut nisbah 60% untuk Malaysia dan 40% untuk Singapura,” katanya.

Sebagai rujukan, tertera rekod di dalam portal rasmi Kementerian Kewangan, Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1985 hingga 1991 dan sekali lagi pada 1999 hingga 2001 di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Najib lagi, selepas proses menandatangani perjanjian tersebut, Perdana Menteri Keempat itu juga tidak mahu menghormati perjanjian dan meminta untuk tiga pakej tanah di Bukit Timah milik KTM turut di masukkan.

“Singapura pun bersetuju untuk memasukkan tanah Bukit Timah di dalam rancangan pembangunan bersama tetapi Malaysia tetap tidak mahu menghormati perjanjian ini kerana masih bersengketa dengan Singapura di dalam pelbagai isu pada masa itu.

“Oleh itu, perjanjian dan tanah-tanah KTM terbiar begitu sahaja selama 20 tahun tanpa memberi hasil satu sen kepada kita,” dedahnya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, tanah-tanah tersebut asalnya diberi kepada KTM pada tahun 1918 mengikut Akta Keretapi pada masa itu dan merupakan tanah pajakan 999 tahun dengan syarat guna tanah dihadkan kepada kegunaan keretapi sahaja.

“Ia tidak boleh dibangunkan atau digunakan untuk projek-projek lain. Kebanyakan tanah itu juga terlalu sempit untuk projek pembinaan kerana laluan landasan keretapi memang tidak luas.

“Jika Singapura tidak bersetuju dengan kita dan tidak menukar syarat kegunaan tanah, tanah KTM itu akan terus dibiarkan begitu sahaja.

“Tunggu lagi 999 tahun pun tidak akan memberi satu sen faedah kepada sesiapa. Malah kita perlu membayar cukai tanah tahunan kepada Singapura,” tegasnya.

Ini menyebabkan pada tahun 2010, Najib yang ketika itu Perdana Menteri Keenam berunding dengan kerajaan Singapura dan mencapai persetujuan baru di mana mereka akan memberi empat pakej tanah di Marina Bay (berhampiran Marina Bay Sands) dan dua pakej di Ophir-Rochor sebagai tukaran kepada satu pakej tanah di Tanjong Pagar, satu pakej di Kranji, satu pakej di Woodlands dan tiga pakej di Bukit Timah.

“Iaitu, enam pakej tanah bertukar dengan enam pakej tanah.

“Sesiapa yang mengenali Singapura tahu bahawa tanah di Marina Bay ialah yang paling berharga manakala kawasan Ophir-Rochor ialah pusat perniagaan (CBD) baru Singapura.

“Jauh lebih berharga berbanding tanah-tanah di Bukit Timah, Kranji atau Bukit Timah,” katanya.

Jelas Najib lagi, tanah-tanah ini telah dibangunkan oleh syarikat perkongsian bersama antara negara Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte Ltd di mana pemilikan 60% negara diletak di bawah Khazanah Nasional.

“Projek di Marina Bay dinamakan Marina One dan bernilai S$7 bilion (RM21.3 bilion) manakala projek di Ophir-Rochor diberi nama DUO Residences bernilai S$4 bilion (RM12.2 bilion).

“Kedua-dua projek ini telah berjaya disiapkan pada awal tahun ini dan kini amat berjaya, memberi pulangan besar kepada negara.

“Projek di Marina One sebesar 3.67 juta kaki persegi melingkupi dua menara 34 tingkat kediaman mewah, dua bangunan 30 tingkat pejabat gred A dan pusat membeli-belah ‘The Heart’, ujarnya.

Justeru itu, tambah Najib, banyak syarikat terkenal seperti Facebook, PriceWaterhouseCoopers (PWC), Grab, bank komersil dan sebagainya telah berpindah ke Marina One dan telah mula membayar sewa kepada syarikat milik Khazanah Nasional, dengan memberi pulangan berterusan jangka panjang untuk negara.

Najib turut merujuk kepada laporan sebuah portal di mana beberapa bulan lalu, laporan media Singapura melaporkan Khazanah Nasional di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berunding untuk menjualkan pegangan 60% tersebut kepada Temasek, kerajaan Singapura.

“Walaupun kerajaan PH telah menafikan berita itu tetapi jangkaan saya ialah tidak lama lagi, mereka akan menjualnya juga dengan alasan ini adalah aset tidak strategik,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.