Menteri Jaga Kebajikan Penoreh Belajar Dari ‘Google’?


KUALA LUMPUR, 28 Nov – Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memotong banyak bantuan kepada rakyat terutama golongan B40.

Namun apa yang menghairankan kata Isham, dalam masa yang sama PH berbangga dengan Bajet 2019 yang dicanangnya sebagai bajet tertinggi negara.

“Bajet 2019 dinaikkan sehingga RM30 billion kepada hampir RM315 billion iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

“Namun mengapa bantuan kepada golongan miskin dan B40 perlu dipotong? Sudahlah dipotong, suruh mereka cari kerja sambilan untuk tingkat produktiviti dan memanggil mereka pemalas pula.

“Sebenarnya siapakah yang untung dalam Bajet 2019 ini?” soal Isham ketika mengulas mengenai gesaan Menteri Industri Utama, Teresa Kok di dalam Dewan Rakyat yang menyuruh penoreh getah tetap menoreh ketika musim tengkujuh.

Dalam video tersebut yang tular di media sosial, kenyataan ahli Parlimen Dap dari Seputeh itu mendapat kritikan daripada ahli Parlimen pembangkang terutamanya dari Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Ahmad menyanggah dengan berkata pada musim tengkujuh penoreh tidak boleh keluar menoreh kerana air hujan sudah pasti bercampur dengan susu getah yang menyebabkan hasil torehan tidak berkualiti waima pelajar sekolah turut mengetahuinya.

Begitu juga dengan celahan Ismail Sabri, tiada guna kerajaan mahu menaikkan kadar lantai harga getah walau sehingga RM1 pun kenaikan, ia tidak akan dinikmati oleh penoreh disebabkan ketiadaan hasil kerana yang perlu diutamakan pada musim tengkujuh adalah bantuan sara hidup.

Seterusnya Isham berpendapat seharusnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membuat dasar-dasar yang menyusahkan rakyat.

“Sejak merdeka, Kerajaan BN dan semua agensi-agensi yang berkaitan dahulu telah mengkaji selama berdekad-dekad bagaimana untuk meningkatkan pendapatan hampir setengah juta penoreh getah di seluruh negara.

“Takkanlah seluruh agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan selama berpuluh tahun sebelum ini tidak tahu sekiranya penoreh getah boleh menoreh pada musim tengkujuh tapi sengaja tak mahu keluar?

“Sekali-sekala YB Menteri dengarlah nasihat penjawat awam dan janganlah asyik ‘google’ sahaja untuk dapatkan idea yang baru yang kononnya boleh meningkatkan produktiviti penoreh atau rakyat secara amnya,” sinisnya.

Begitu juga mengenai saranan mempelbagaikan kerja, Isham berkata seharusnya menteri memahami terlebih dahulu mengenai pengkhususan kerja dalam kitaran ekonomi.

“Dalam ekonomi ada sesuatu perkara asas yang dinamakan pengkhususan kerja (division of labor). Adalah lebih produktif dan efisyen jika seseorang itu mengkhususkan pekerjaannya kepada satu bidang kerana kekangan masa, sumber dan skil. Juga, pengetahuan dan skil akan meningkat dalam pekerjaan yang khusus dan ini akan menambah lagi produktiviti.

“Penoreh yang sudah lama menoreh tahu bagaimana cara untuk menoreh dan bila untuk mendapatkan hasil tertinggi berbanding menteri yang baru belajar cara menoreh dari ‘google’.

“Sekiranya penoreh disuruh menternak ikan secara sambilan, maka beliau terpaksa membahagikan masanya antara menoreh dan menternak ikan, dan apa akan jadi kepada kolam ikan dan pelaburan beliau bila habis musim tengkujuh? Tinggalkan dan pergi balik menoreh? Jika beliau mahir menternak ikan, mungkin sudah lama beliau tidak perlu menoreh dan tidak jadi penoreh getah,” tambahnya.

Isham turut memberi analogi, menyuruh penoreh getah untuk menternak ikan atau menanam sayur pada musim tengkujuh adalah sama seperti menyuruh menteri yang dilatih dalam undang-undang untuk menjadi jurutera sambilan untuk membina bangunan ketika Parlimen tidak bersidang.

“Ianya tidak mustahil tetapi amatlah kurang bijak,” bidasnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.