Cuma Tukar Gelas Baru Tapi Air Tetap Kotor

Itu perumpamaan yang dinyatakan oleh seorang penunjuk perasaan India di Balai Polis USJ semalam. Kerajaan PH menurut beliau umpama menukar gelas baru sahaja tetapi air di dalamnya tetap kotor. Sebenarnya “lebih kotor dan lebih kelat”.

Selepas ini sudah tentu Menteri-Menteri India akan ambil jalan selamat dan mendesak supaya pemindahan Kuil Sri Mariamman itu dibatalkan. Ini bermakna keputusan Mahkamah akan dilanggar. Kesimpulannya di bawah Kerajaan PH tidak ada ‘rule of law’.

Kenapa semua ini berlaku? Perumpamaan di atas adalah jawapannya. Sebenarnya rakyat sudah tersalah pilih kerajaan.

Mereka terperangkap dengan keyakinan palsu (false confidence) kerana walaupun telah menukar gelas baru tetapi dituang dengan air yang lebih kotor.

Kerajaan yang memerintah juga terperangkap dengan keyakinan palsu. Mereka yakin kemenangan mereka adalah ‘genuine’. Sebab itu mereka gagal memberi tumpuan kepada isu pokok. Isu pokok seperti “kesejahteraan rakyat” dipinggirkan.

Bayangkan Bajet 2019 mengenepikan golongan petani, nelayan dan pekebun kecil. Formula untuk mengatasi kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat langsung tidak dikemukakan.

Kerajaan PH mentadbir dengan bermain isu. Antaranya menyalahkan kerajaan lalu. Penyelongkaran demi penyelongkaran didedahkan. Mereka lupa rakyat akan muak dengan taktik tersebut.

Justeru apabila berlaku peristiwa Kuil Sri Mariamman ia menyelongkar kelemahan pentadbiran Kerajaan PH di Selangor. Siapakah pemilik One City Development yang membeli tanah kuil tersebut? Apakah ada hanky panky?

Akhirnya minggu lepas MB Selangor umum, pemberian air percuma akan ditamatkan tahun hadapan.

Terbukti rakyat dapat air yang lebih kotor dan kelat. Kerajaan Selangor sanggup berhutang untuk membeli syarikat air SPLASH dengan harga RM2.55 Bilion. Siapa pemilik SPLASH? Individu kroni Kerajaan PH.

Bekas MB TS Khalid Ibrahim tawar harga RM250 Juta sahaja. Kenapa RM2.55 Bilion? Kenapa Lim Guan Eng senyap. MRT 2 dibatalkan kononnya harga terlalu mahal. Inilah ‘double standard’ Kerajaan PH.

Ini baru 7 bulan. Apa akan terjadi setahun atau 2 tahun akan datang? Kita bimbang air kotor, busuk dan kelat itu akan bertukar menjadi racun. Tuang segera air bersih.

Dr Puad Zarkashi