PTPTN : PH Mengaku Gagal, Minta Maaf Namun Rakyat Tetap Kena Tipu


KUALA LUMPUR, 11 Nov – “Berjanji. Gagal laksana. Kemudian minta maaf. Senang sangat memerintah kalau macam ni. Kemudian menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana kegagalan itu. Sedangkan mereka sendiri yang lemah.”

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai maklum balas kepada kenyataan Wan Saiful Wan Jan iaitu Pengerusi PTPTN selepas kerajaan baru, Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

Dilaporkan, hari ini, Wan Saiful secara terbuka memohon maaf kepada rakyat kerana gagal menepati janji menghapuskan pinjaman Perbadanan PTPTN dan mengakui sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto PH sebelum ini, namun gagal.

“Saya nak bagi tau Wan Saiful, bahawa sejak dulu lagi yakni sebelum Kerajaan PH memerintah,  PTPTN sudah tahu bahawa sukar untuk melaksanakan polisi memulakan bayaran di tangga gaji RM4,000.

“PTPTN sudah lama mengkaji perkara ini. Waktu BN mengendalikan PTPTN kita sudah menghantar pegawai keluar negara mengkaji pelbagai perkara termasuk cadangan ini. Jadi PTPTN sudah tahu ianya sukar kerana membebankan PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, bidasnya, dengan hebatnya Pengerusi PTPTN Kerajaan PH umumkan akan lakukan reformasi pada PTPTN.

“Saya pun teruja juga mahu mengikutinya sebab mungkin ada idea baik yang akan Wan Saiful bawa gagal saya lakukan sewaktu saya mengendalikan PTPTN, namun “permohonan maaf ” yang kita dengar hari ini.

“Sebenar saya ingin bagi tahu. Wan Saiful hanya minta Pengurusan dan Pegawai PTPTN mengkaji manifesto PH berkaitan PTPTN. Justeru itu ia “gagal dilaksana” sebab jawapan tidak boleh itu sudah ada sejak saya jadi pengerusi lagi kerana PTPTN telah lama mengkaji perkara ini.

“Saya ingin nyatakan bahawa diwaktu BN mengendalikan PTPTN. PTPTN telah ke arah menjadi “badan pembiaya pendidikan utama” di Malaysia. Pelbagai Jabatan dan agensi yang menyediakan dana pinjaman pendidikan mendapat khidmat nasihat dan bekerjasama dengan PTPTN.”

Malah tegasnya, pelbagai negara luar telah datang mengkaji apa yang PTPTN lakukan dan mereka meminta bantuan dan pandangan PTPTN bagimana mahu laksanakan apa yang PTPTN lakukan termasuk mengenai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) yang ini menunjukan segala polisi dan dasar PTPTN adalah baik.

“Namun saya tidak nafikan penambahbaikan perlu dibuat. Sehingga hari ini pada saya tiada suatu dasar baru yang jelas Wan Saiful lakukan pada PTPTN.

“Di zaman BN kita lakukan pelbagai pendekatan dan saya ingat pelbagai sesi Sidang Meja Bulat PTPTN lakukan dengan pelbagai pihak. Kita punyai banyak cadangan dan semua dikaji oleh PTPTN. Sebab itu, PTPTN semasa BN hanya laksanakan yang baik untuk semua rakyat sahaja kerana kita mahu menjaga semua kelompok dan golongan.

“Jadi memang baik meminta maaf. Namun pelajar dan rakyat yang mengundi PH kerana yang tengaruh dengan janji PH tetap ditipu,” bidas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.