Pemimpin PH Tak Senang Duduk, Dinasihat Fokus Portfolio Sendiri
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin untuk fokus terhadap tugas dan portfolio sendiri di Jabatan Perdana Menteri.
Secara sinis, beliau membidas Mohamed Hanipa yang dilihat tidak senang duduk dengan responnya berkaitan isu pemandu teksi semalam.
“Saya tersenyum bila membaca laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan yang menyerang saya dan menyifatkan hujah saya dalam isu pemandu teksi adalah ‘sampah’.
“Dalam ramai-ramai pemimpin dalam PH, saya hairan kenapa YB Hanipa Maidin pula yang tidak senang duduk dengan respon yang saya berikan terhadap kenyataan Tan Sri Zainudin Maidin seperti dipetik Sinar Harian semalam,” katanya.
Sebelum ini Zainuddin dipetik menyarankan perkhidmatan teksi di negara ini dihapuskan berikutan sikap biadap mereka dalam sesi dialog bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Ahad lalu. Hal ini mengundang rasa kesal Zahida dengan perkongsian menerusi Twitternya yang mengibaratkan pemandu teksi kini dilayan macam ‘sampah’ selepas kerajaan PH memerintah.
“Saya mengharapkan satu jawapan daripada Menteri Pengangkutan, ironinya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam portfolio undang-undang yang menjawab,” katanya.
Ujar beliau, bukan sahaja teksi di luar bidang kementeriannya malah ia langsung tiada kaitan yang menyebabkan beliau tertanya-tanya kenapa Hanipa Maidin pula yang tidak senang duduk seolah-olah ingin melepaskan kemarahan di laman facebook miliknya.
“Sebagai Ketua Puteri UMNO dan seorang wanita muda yang prihatin, saya ingin nasihatkan YB Hanipa Maidin supaya belajar kawal kemarahan agar ia tidak memberi kesan kepada kesihatan.
“Fokuslah kepada tugas dan portfolio yang dipegang di Jabatan Perdana Menteri. Jangan tunjuk diri sendiri seolah-olah tidak memahami bidang tugas dan portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada anda.
“Sekali sekala jenguklah rakyat Sepang kerana ramai di sana sedang mencari di mana wakil rakyat mereka, mohon balik kawasan dan jangan lari,” katanya lagi. – MediaUMNO