Semangat UMNO Takkan Hilang, Ahli Parti Tekad Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 22 Okt – “Satu pemimpin UMNO didakwa… 1,000 pejuang parti akan muncul,” begitulah semangat ahli UMNO yang masih terus percaya kepada UMNO yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi agama, bangsa dan negara.

Bagi Zamri Riduan yang sentiasa memberikan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semangat ahli parti tidak akan luntur hanya kerana seorang demi seorang pemimpin UMNO didakwa.

“Akan ramai lagi pemimpin UMNO bakal muncul. Niat mereka yang mahu menguburkan parti keramat ini tidak akan berjaya.

“Bagi saya, pertuduhan yang dikenakan kepada pemimpin-pemimpin UMNO kini adalah satu pertuduhan berpilih. Saya yakin akan ramai lagi pemimpin kita yang akan kena tetapi pemimpin mereka terlepas,” ujarnya yang Jumaat lalu turut serta hadir di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai solidariti kepada pemimpin UMNO.

Ahli UMNO dari Negeri Sembilan, Latifah Ali pula berkata, jika seseorang itu ahli UMNO tegar dan sejati, maka semangat itu tidak akan luntur sama sekali walaupun diasak sebagaimana rupa pun.

“Kami ahli UMNO akan tetap teguh di belakang pemimpin kita yang didakwa. Selama ini pemimpin UMNO telah tabur pelbagai budi kepada kita, jadi mana mungkin di kala susah kami ini lari,” jelasnya.

Seorang lagi ahli UMNO dari Puchong Suhaimi Adnan berkata, lagi banyak tekanan yang diberikan kepada parti UMNO, ianya menaikkan lagi semangat pejuang-pejuang parti.

“Semangat kami semakin membara untuk berjuang mempertahankan parti. Kita biarkan masyarakat hari ini menilai apa yang kerajaan baru buat kepada para bekas pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat.

“Selagi ada pejuang UMNO… selagi ada semangat UMNO… parti keramat ini tidak akan tumbang… percayalah,” katanya.

Jumaat lalu, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan dengan sekitar 1,000 orang penyokong dan juga ahli-ahli UMNO berkumpul sebagai tanda solidariti terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa dengan 45 pertuduhan.

Terdahulu, mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak turut sama didakwa di mahkamah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.