Perbetulkan Pengurusan Untuk Pulihkan Felda Bukan Jual Aset – Abdullah


KUALA LUMPUR, 22 Okt – “Malulah kepada peneroka Felda…pada generasi baru Felda… pentadbir hari ini yang berlagak pandai tapi gagal mentadbir Felda dengan baik sehingga nak jual aset.

“Keputusan untuk jual aset bukan keputusan yang bijak kerana banyak cara lain lagi yang boleh diambil untuk memulihkan Felda,” ujar Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia Datuk Abdullah Abu Bakar.

Jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda, apa yang perlu dilakukan sekarang ini adalah memperbetulkan pengurusan dan bukannya dengan menjual aset sedia ada.

“Semasa mahu membeli aset, ia telah melalui pelbagai peringkat dan perbincangan terperinci sama ada berbaloi atau tidak untuk dibeli. Sekarang ini langkah untuk menjual aset yang ada bukanlah satu langkah bijak.

“Selagi pengurusan tidak dibetulkan maka juallah apapun, Felda tetap tidak akan dapat dipulihkan. Kita perlu bawa masuk orang yang boleh mentadbir, orang yang boleh buat kerja dan berkebolehan. Pada hari ini ikut suka nak letak siapa walaupun mereka tidak faham bagaimana Felda mahu berjalan.

“Sebagai contoh, kata nak jual aset sebab masalah kewangan tapi dalam masa yang sama Felda Global Ventures beli bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut. Cakap apa ni… jual yang lama beli yang baru. Adakah ini satu pengurusan yang baik? Ini maknanya salah tadbir,” bidas beliau.

Tambah Abdullah, sekiranya pengurusan Felda berjaya dibetulkan, bukan sahaja aset tidak perlu dijual tetapi tidak mustahil Felda akan berjaya menambah aset baru.

“Soalnya sekarang, adakah generasi baru Felda diberi ruang untuk beri pandangan? Tiada…,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Felcra berkata, keadaan ekonomi masa kini bukanlah masa yang sesuai untuk menjual aset Felda.

“Kalau kita jual sekarang harga akan jatuh merudum. Fikir baik-baik sebelum jual. Ada banyak cara yang boleh dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk jual aset. Nak beli balik bukan mudah.

“Felda ada ladang kelapa sawit terbesar di dunia… sejuta ekar lebih… Masa saya jadi Pengerusi Felcra, Felcra hanya ada lebih kurang 300 ribu ekar tapi boleh menjana keuntungan RM700 ke RM800 juta setahun.. kalau Felda ada sejuta ekar lebih maknanya boleh menjana berbilion setahun.

“Masalah kerugian aliran tunai adalah masalah pengurusan yang tidak amanah, tidak cekap dan tidak tahu berniaga.. sebab itu adalah masalah. Betulkan ini dulu… Tidak perlu jual aset,” ujar beliau.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, Felda kini dalam proses melihat keperluan untuk menjual aset-aset bukan strategik seperti hartanah di London, Sarawak dan Sabah yang dibeli dengan kos sebanyak RM2.2 bilion bagi menampung sebahagian komitmen Felda kepada 112,635 peneroka.

Selain itu katanya, ketika ini, Felda sedang menghadapi masalah kedudukan aliran tunai yang amat kritikal berikutan pinjaman dengan beberapa institusi kewangan berbaki sebanyak RM8 bilion sehingga Jun lalu. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.