Zahid Didakwa Dengan 45 Pertuduhan, Dibenarkan Ikat Jamin RM2 Juta

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah yang direkod daripada beliau di atas ke semua pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh di hadapan hakim Azura Alwi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diikat jamin sebanyak RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan termasuk menyerahkan passpot kepada mahkamah sehingga selesai kes ini dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Disember ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang  dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.

Seawal jam 7 pagi, kira-kira lebih seribu ahli UMNO telah mula berkumpul di luar pintu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut kelihatan, kepimpinan tertinggi UMNO seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Musa Sheikh Fadhir, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Lokman Noor Adam dan Datuk Armand Azha.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut hadir dan dilihat memasuki bangunan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Berikut merupakan kronologi siasatan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membawa kepada pendakwaan terhadap salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan sebuah yayasan:

2 Julai:

Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung 1Malaysia  Development Berhad (1MDB).

3 Julai:

Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

10 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali kedua kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

Anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah memberi keterangan kepada SPRM juga dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

11 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali ketiga kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

Menantu Ahmad Zahid Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

12 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali keempat selama lebih tujuh jam kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

18 Okt :

Ahmad Zahid ditahan SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya untuk membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap SPRM.

19 Okt:

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan beliau diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.-MediaUMNO