Solidariti Untuk Presiden UMNO, Sokongan Ahli Dari Semua Peringkat

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Sokongan yang tidak berbelah bahagi telah ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat apabila turut hadir dan berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menunjukkan solidariti kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara pemimpin tertinggi UMNO yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa serta ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli dari pelbagai lapisan.

Dr Ahmad Zahid Hamidi dibawa ke mahkamah di sini untuk proses pendakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

Beliau tiba di mahkamah pada jam 8.15 pagi dengan sebuah kenderaan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ahmad Zahid kelihatan tenang ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan dengan tersenyum serta melambai-lambai kepada media dan orang ramai.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditahan SPRM Putrajaya pada 3.15 petang berhubung siasatan kes berkenaan.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah enam kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu dengan kali terakhir memberi keterangan semalam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.